Jumaat, 11 Disember 2015 | 9:55am

Syed Anwar, Azmin dahului penerima darjah kebesaran

Shah Alam: Tengku Syarif Panglima Perlis, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalulail mendahului senarai 75 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran serta pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Ke-70 Sultan Selangor, esok.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan dikurniakan Darjah Kerabat Selangor oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), iaitu Darjah Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Datuk Setia dikurniakan kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Datuk Paduka Putra Tengku Azman Shah; Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammed Khusrin Munawi.

Lapan terima DPMS

Lapan individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS), membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita, diketuai Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar; Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Nik Shuhaimi Nik Sulaiman; Orang Besar Lapan Perak, Datuk Dr Afifi Al-Akiti; Timbalan Dekan Siswazah dan Hal Ehwal Antarabangsa, Dr Zainul Rashid Mohamad Razi.

Yang turut menerima DPMS ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr S Balachandran; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Puasa Md Taib; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Mohd Zaki Ibrahim dan adik kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi CIMB Group Holding Berhad, Datuk Seri Nazir Razak.

Sepuluh individu menerima Darjah Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang turut membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

10 terima DSIS

Mereka ialah Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Raja Reza Raja Zaid Shah; Timbalan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ong Thiam Hock; Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Saadah Ismail; Pakar Pergigian Kesihatan Awam, Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan, Datin Dr Nooral Zeila Junid dan Pengarah Jabatan Audit Negara Selangor, Ang Nai Har.

Dekan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Jalil Nordin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Mohamad Nasir Ab Jalil; Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz; Pengarah MCT Konsurtium Berhad, Cheah See Yeong dan Penerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan UPM, Tan Siok Choo.

Lima belas orang, termasuk Kerabat Diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari, dianugerahkan Darjah Kebesaran Ahli Mangku Selangor, manakala tujuh lagi dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X