Jumaat, 11 Disember 2015 | 4:24pm
PENOLONG jurulatih Kedah, Ramon Marcote. - Foto Amran Hamid
PENOLONG jurulatih Kedah, Ramon Marcote. - Foto Amran Hamid

Saya atau Cheng Hoe sama saja: Marcote

SHAH ALAM: Penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote seakan sudah bosan menjawab soalan mengenai Tan Cheng Hoe yang diajukan media kepadanya sepanjang ketiadaan ketua jurulatih itu pada baki saingan Piala Malaysia musim ini.

Marcote menafikan kejayaan Kedah mara ke final adalah hasil sentuhannya, sebaliknya menegaskan ia adalah kejayaan pasukan yang dibentuk Cheng Hoe dan dia hanya mengambil alih ketika ketiadaan pengendali itu yang menghadiri kursus kejurulatihan di China.

"Sebaik melangkah ke final, saya ditanya soalan yang sama setiap kali," kata jurulatih 38 tahun dari Sepanyol itu. "Ingin saya tegaskan yang saya hanya menggantikan Cheng Hoe di tepi padang apabila dia tiada.

"Selain itu, tiada apa perbezaan yang saya lakukan sepanjang ketiadaan Cheng Hoe. Corak permainan, strategi dan bentuk latihan pasukan Kedah tetap sama.

"Hari ini dia kembali bersama pasukan dan saya yakin pemain akan bertambah bersemangat untuk menjulang trofi Piala Malaysia malam esok.

"Kedah akan bertemu Selangor di Stadium Shah Alam malam esok dan Marcote berharap anak buahnya akan berjuang habis-habisan bagi menjulang kejuaraan itu," katanya.

Sementara itu, kapten Kedah, Khairul Helmi Johari berkata, Kedah akan berusaha memperbaiki kelemahan menjelang aksi final malam esok bagi mengulangi kejayaan pada final tujuh lalu bertemu pasukan sama.

"Kami sedar kelemahan utama kami ialah di bahagian pertahanan di mana kami sering dibolosi pada setiap perlawanan.

"Kami cuba memperbaiki kelemahan itu dan kini tumpuan kami ialah memberikan persembahan sebagai satu pasukan di final nanti," kata Khairul Helmi.

Berita Harian X