Jumaat, 11 Disember 2015 | 7:13pm

Ramai ambil kesempatan derma darah di PWTC


ORANG ramai mengambil kesempatan menderma darah sempena kempen derma darah anjuran Biro Kesihatan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Lebih 200 orang menderma darah kepada Pusat Darah Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengambil tempat sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015, kempen itu bermula sejak Rabu lalu adalah anjuran Biro Kesihatan Puteri UMNO, di aras empat PWTC.

Selain menderma darah, ada pengunjung mengambil kesempatan mendapatkan maklumat berkenaan kebaikan kempen itu selain taklimat kesihatan lain.

Penolong Pegawai Penerangan Pusat Darah Negara, Shariza Jamal Abd Nasir menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun banyak membantu agensi itu menambah bekalan darah negara.

"Kita komited menjalankan kempen ini setiap tahun kerana bekalan yang ada ketika ini ibarat kais pagi makan, pagi kais petang makan petang.

"Justeru, saya mengajak orang ramai yang berniat untuk menderma darah supaya datang ke gerai kami. Setiap penderma juga akan menerima saguhati seperti minuman dan makanan ringan daripada kami," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengunjung yang tidak berkesempatan menderma di PWTC, mereka juga boleh datang ke premis Pusat Darah Negara di pusat beli belah Midvalley Bangsar.

Berita Harian X