Sabtu, 12 Disember 2015 | 7:00am

Musim menakjubkan buat Selangor

(DARI kiri) Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic; Kapten pasukan Selangor, Shahrom Kalam; Kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari dan Pengendali Sementara Kedah, Ramon Marcote bergambar bersama trofi Piala Malaysia pada sidang media pengurus pasukan di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto Osman Adnan
(DARI kiri) Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic; Kapten pasukan Selangor, Shahrom Kalam; Kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari dan Pengendali Sementara Kedah, Ramon Marcote bergambar bersama trofi Piala Malaysia pada sidang media pengurus pasukan di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Naib juara Liga Super, Selangor dan juara Liga Perdana, Kedah, akan bertembung pada aksi final Piala di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pengendali kedua-dua pasukan mendakwa mereka adalah pasukan bukan pilihan dan tiada tekanan untuk membuktikan apa-apa pada aksi penentuan itu.  

Ketika jurulatih Selangor Mehmet Durakovic menegaskan pasukannya bukan pilihan untuk menjulang piala malam ini, penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote Pequeno juga mengatakan perkara sama mengenai pasukannya.

"Walaupun tiada harapan diletakkan pada kami sejak peringkat kumpulan selepas diundi dalam kumpulan maut, kami mara sedikit demi sedikit sehingga ke pentas akhir," kata Durakovic.

Baginya, musim ini amat menakjubkan buat pemain dan dirinya.

"Bagaikan sudah ditakdirkan, akhirnya saya yang pernah membantu Selangor merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada era 90-an akhirnya berjaya membantu pasukan itu ke pentas akhir malam ini selaku pengendali pula," katanya pada sidang media pengurus pasukan di Stadium Shah Alam, semalam.

Durakovic yang begitu tenang pada sesi sidang media itu enggan menganggap pasukan bimbingannya itu sebagai pasukan pilihan berbanding Kedah untuk memenangi aksi akhir itu, meskipun dilihat memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Seakan melancarkan perang psikologi ke atas skuad Helang Merah bimbingan Puqueno, Durakovic berkata, Kedah memiliki pasukan yang baik dengan bahagian serangan yang begitu menakjubkan dibantu kombinasi pemain senior dan muda yang berkebolehan.

"Namun, pemain kami juga mahu mencatat kemenangan kerana mereka beraksi di hadapan keluarga dan penyokong mereka yang tidak putus-putus menyokong Selangor dari peringkat kumpulan hingga ke perlawanan akhir.

"Penyokong Selangor berhak menjadi sebahagian daripada perjalanan dan sejarah pasukan itu yang layak ke pentas akhir. Semoga kami berjaya mencatat kemenangan untuk didedikasikan kepada penyokong setia Gergasi Merah," katanya.

Berita Harian X