Sabtu, 12 Disember 2015 | 7:30am

Tekad gawang tidak mudah dibolosi

SKUAD bola sepak Kedah diketuai Khairul Helmi Johari menjalani latihan rasmi di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
SKUAD bola sepak Kedah diketuai Khairul Helmi Johari menjalani latihan rasmi di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, menuntut rakan sepasukan untuk lebih memberi tumpuan pada pertahanan pasukan menjelang final Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menyedari kelemahan benteng Helang Merah, yang sering dibolosi pada setiap perlawanan dalam laluan ke final, pemain pertahanan itu bertekad untuk mengatasi kelemahan skuad bimbingan Ramon Marcote Pequeno itu bagi memastikan ia tidak mudah dibolosi Selangor.

"Kami sedar kelemahan utama kami ialah di bahagian pertahanan. Kami sering dibolosi pada setiap perlawanan.

"Kami cuba memperbaiki kelemahan itu dan kini tumpuan kami ialah memberikan persembahan sebagai satu pasukan di final nanti," katanya.

Khairul Helmi, 27, berada dalam skuad juara tiga kejuaraan pada tahun 2007 dan 2008, namun hanya sebagai pemain simpanan, berharap penampilan kali ini akan menjelmakan kejuaraan buatnya, yang diberi kepercayaan memakai lilitan kapten.

Sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini, hanya dua kali Kedah merakam kemenangan bersih, 5-0 ke atas Terengganu dan 2-0 ke atas Lions XII dalam peringkat kumpulan.

Berita Harian X