Sabtu, 12 Disember 2015 | 11:27am

Rebut pahala, lembutkan hati dengan berselawat


GAMBAR fail, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Zunnur Al Shafiq

RABIULAWAL adalah bulan ketiga dalam kalendar Hijrah yang dalamnya tercatat pelbagai peristiwa besar dan penting mengenai sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam yang sudah pasti menjadi ingatan kepada seluruh umat Islam.

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree mengimbas kembali sejarah nama Rabiulawal itu sendiri yang bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tumbuh-tumbuhan. Mengikut kebiasaan di tanah Arab, pada bulan Rabiulawal, pokok mula berbunga dan berbuah.

Lebih memberi makna besar, pada bulan inilah kelahiran Nabi Muhammad SAW, yang sekali gus menambah kemuliaan kepada bulan itu sendiri.

Dengan mengambil keberkatan dan kebaikan bulan Rabiulawal yang di dalamnya diberi kemuliaan kerana kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam haruslah mengambil sebanyak mungkin iktibar daripada peristiwa penting pada bulan ini untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.

Menurut Syed Abdul Kadir, umat Islam hendaklah menumpahkan sepenuh kasih dan sayang terhadap Nabi Muhamad SAW bukan hanya sekadar setiap kali mengingati bulan kelahiran Baginda semata-mata, tetapi ketaatan menurut sunah Baginda dan taat kepada suruhan Allah SWT diterjemahkan setiap masa dan waktu.

Setiap Mukmin yang mencintai Allah dan Rasulullah patut menunjukkan rasa kasih kepada Baginda dengan menuruti perintah Allah SWT dan Rasul melalui amal perbuatan yang akan memartabatkan ajaran Islam yang murni.

Zahir kecintaan kepada Nabi SAW

Syed Abdul Kadir turut mengulas mengenai pandangan sesetengah orang yang berpendapat bahawa sambutan Maulidur Rasul sebagai suatu bidaah, beliau mengambil pandangan ulama yang berlapang dada terhadap sambutan Maulidur Rasul sebagai perbuatan yang tidak bercanggah dengan Islam asalkan ia disambut mengikut syariat Islam.

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan untuk menterjemahkan kasih sayang dan cinta terhadap Baginda, tidak perlu dipertikaikan jika ia satu amalan yang membuatkan kita mengenang tarikh kelahiran Baginda.

Sesungguhnya setiap masa kita digalakkan untuk berselawat kepada Baginda, tetapi jika kita membuat sesuatu aktiviti seperti ceramah agama yang mengungkapkan kembali tentang sirah Nabi Muhammad SAW, berselawat dengan pujian terhadap sifat atau akhlak Nabi serta menganjurkan acara yang menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW adalah amat digalakkan.

Bagi umat Islam yang mencari kebaikan dalam kehidupan dan mengejar rahmat Allah SWT, digalakkan untuk melembutkan hati dengan mengambil kebaikan serta tawaran pahala Allah melalui selawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Syed Abdul Kadir berkata, mereka yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda SAW. Ia dizahirkan dengan mengamalkan sunahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu semata-mata.

Baginda Rasulullah SAW menyebut dalam sepotong hadis berkaitan dengan selawat ke atas baginda yang bermaksud: "Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. ( Hadis Muslim)

Kelebihan berselawat

Dalam sebuah hadis lain Nabi Muhammad menyebut, seseorang mukmin yang berselawat ke atas Baginda bukan saja akan diberikan ganjaran pahala, tetapi dijanjikan syafaat Baginda di akhirat nanti. Sesungguhnya seseorang manusia yang mencintai Nabi sama jalannya seperti mencintai Allah SWT.

Syed Abdul Kadir juga menjelaskan mengenai kelebihan bagi seseorang yang selalu menghidupkan lidahnya dengan selawat kepada Rasulullah SAW adalah diberikan kelapangan serta hati yang lembut untuk menerima kebaikan.

Seseorang yang hatinya lembut mudah menerima ilmu atau apa juga amalan kebaikan yang difahami berdasarkan agama yang dipelajari akan dipamerkan melalui amal perbuatan dan akhlak diri.

Justeru kesempatan berada di bulan Rabiulawal, amatlah digalakkan seseorang Mukmin itu untuk menghidupkan bulan ini dengan lebih banyak amalan yang menjurus kepada kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Berita Harian X