Sabtu, 12 Disember 2015 | 11:46pm
PEMAIN Selangor gembira atas kejayaan menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah hasil dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada aksi final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Misi 33 Selangor tercapai selepas 4 tahun

SHAH ALAM: Selepas tertangguh selama empat tahun, Misi 33 Selangor akhirnya tercapai apabila pasukan itu menumpaskan Kedah, 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, di sini, yang berakhir sebentar tadi.

Walaupun skuad Helang Merah mendapat suntikan awal kepulangan ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe dari kursus lesen pro di China, status Stadium Shah Alam selaku gelanggang keramat The Red Giants nyata menghadirkan tuah buat gergasi Lembah Kelang itu untuk dinobat juara selepas kali terakhir pada tahun 2005.

Ahmad Hazwan Bakri pastinya individu paling gembira dengan kejayaan itu hasil sumbangan dua gol untuk mengecewakan skuad Helang Merah, sekali gus menebus kehampaan pada final perebutan piala sama pada tahun 2008.

Aksi malam tadi turut dicemari layangan kad merah yang diterima oleh penjaga gol Kedah, Mohd Firdaus Muhamed, gara-gara menampan bola di luar kotak penalti.

Ketika perlawanan baharu berusia tiga minit, Selangor terlebih dulu ceria apabila Ahmad Hazwan Bakri menyempurnakan hantaran Guilhherme De Paula untuk 'gol semangat' pasukannya.

Selepas itu, perlawanan berlangsung seperti yang dijangka apabila aksi sengit dijelmakan 22 pemain atas padang dengan kedua-dua pasukan lebih gemar membuat hantaran bola rendah.

Aksi berbalas serangan terus dipamerkan oleh Selangor dan Kedah, yang turut menyaksikan berlaku beberapa terjahan keras pada minit ke-22, namun pantas dileraikan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Pada masa kecederaan, Kedah dihidangkan peluang terbaik, namun rembatan deras pemain pertahanan, Mohd Rizal Ghazali dari luar kotak penalti ditepis keluar penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Seperti babak pertama, The Red Giants hanya memerlukan dua minit di babak kedua untuk menambah jaringan apabila kombinasi De Paula dan Ahmad Hazwan sekali lagi menewaskan Mohd Firdaus.

Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, seakan keseorangan ketika gandingannya di posisi tengah, Sandro Sa Silva dirantai ketat pemain Selangor, namun percaturan Chen Hoe memasukkan Muhd Farhan Roslan berjaya menambah sengat serangan Helang Merah.

Penyokong Kedah terus kecewa apabila Da Silva mempersiakan peluang terbuka hasil umpanan Chidi Edeh apabila cubaanya pada minit ke-68 menuju tepat ke arah Norazlan.

Ketika permainan memasuki minit ke-82, misi Kedah mencari gol semakin sukar apabila Mohd Firdaus dilayangkan kad merah selepas dikesan menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti ketika cuba menyelamatkan percubaan S Veenod.

Keputusan 2-0 itu kekal sehinggalah wisel penamat untuk menceriakan kira-kira 30,000 penyokong Selangor, tatkala Kedah terpaksa menggigit jari.

Berita Harian X