Isnin, 14 Disember 2015 | 12:07am
KAKITANGAN Habib Jewels pada majlis pelancaran Merdeka Bazaar Habib Sehati Sejiwa di Habib Jewels Sdn Bhd, Ampang Point, Ampang. - Foto Nik Hariff Hassan
PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib (kiri) bersama artis Mawi menampal lambang bulan dan bintang pada Jalur Gemilang sebagai gimik pelancaran Merdeka Bazaar Habib Sehati Sejiwa di Habib Jewels Ampang Point, Ampang. - Foto Nik Hariff Hassan
PENGARAH Yayasan Habib Datuk Seri Meer Sadik Habib (dua dari kanan) dan Datin Seri Zarida Noordin (kiri), memberi sumbangan kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain (dua dari kiri), Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Hasnah Sulaiman, (tiga dari kiri) dan Ketua Jabatan Nefrologi HKL, Datuk Dr Ghazali Ahmad Kuty (kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan oleh Yayasan Habib. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib dan Datin Seri Zarida Noordin bersama selebriti, Nurul Wahab, Lee Yvonne dan Aileen Gabriella yang memakai koleksi terbaru Pandora sempena Hari Natal. - Foto Surianie Mohd Hanif
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat secara dekat barangan kemas yang ditawar pada kadar harga istimewa bersempena majlis pelancaran Merdeka Bazaar Habib Sehati Sejiwa di Habib Jewels Ampang Point, Ampang. - Foto Nik Hariff Hassan

Meer Sadik teruskan legasi Habib Jewels



PERNIAGAAN barang kemas dan permata adalah satu perusahaan yang berkaitan dengan kebahagiaan.

Ia mampu menzahirkan rasa kasih sayang, cinta dan penghargaan terhadap seseorang.

Tambah lagi dengan barangannya yang bernilai tinggi, tersendiri berserta rekaan unik dan memukau mampu menjadikan seseorang itu rasa lebih dihargai serta disayangi.

Itu yang dipegang pemilik jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Habib Jewels, yang kini berada dalam kelas tersendiri dalam industri barangan kemas serta penjualan berlian di negara ini.

Syarikat berkenaan yang hanya bermula secara kecil-kecilan, kini sudah bertapak sehingga 57 tahun dalam industri biarpun berdepan pelbagai cabaran serta pasaran turun naik harga komoditi bernilai itu.

Memulakan langkah pertama, Habib membuka kedai emas sulungnya di Jalan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang pada tahun 1958 atau dulunya dikenali Pitt Street. Jalan itu yang pada ketika itu terkenal dengan jolokan 'Jeweller's Corner' dan kini, masih menempatkan bilik pameran Habib pertama, sehingga hari ini.


KEDAI emas sulung Habib Jewels di Jalan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Selari dengan peredaran masa, Habib Jewels terus berkembang dan kini, memiliki 32 cawangan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Sadik Habib, berkata senyuman setiap pelanggan yang mengunjungi Habib sentiasa menjadi inspirasi beliau untuk terus bertapak kukuh dalam industri.

"Industri ini adalah satu bentuk perniagaan yang berkaitan dengan kebahagiaan dan menggembirakan. Apatah lagi, ia juga antara satu pelaburan baik untuk masa depan," katanya dalam satu pertemuan dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi permulaan perniagaan Habib, beliau berkata, ia bermula dengan nama MA Habib Mohamed yang diasaskan bapanya, Habib Mohamed yang menjual barang kemas secara borong di pasaran sekitar Pulau Pinang.


PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib. - Foto Amran Hamid

"Dedikasi dan motivasi tinggi yang ditunjukkan bapa saya memikat ramai hati pelanggan dan akhirnya perniagaan keluarga kami semakin berkembang.

"Saya juga mula mempelajari selok belok perniagaan itu sejak kecil dan meneruskannya secara serius selepas pulang ke Malaysia sebaik menamatkan pengajian di luar negara," katanya yang turut berkongsi rasa bangga apabila Habib Jewels menjadi syarikat barang kemas pertama di Malaysia tersenarai dalam Bursa Saham, pada tahun 1998.

Bagaimanapun, selepas mengalami penstrukturan semula, perniagaan syarikat itu diswastakan sepenuhnya dan dikenali sebagai Habib Jewels Sdn Bhd.

Selepas mengambil alih perniagaan daripada bapanya, Meer Sadik mengubah jualan secara borong kepada jualan runcit bagi meningkatkan lagi keuntungan. Pelbagai strategi yang dijalankan untuk terus mengukuhkan jenama Habib dan antara aspek yang ditekan ialah strategi pemasaran yang betul.

"Bagi saya, perkara penting dalam perniagaan ialah pemasaran. Pemasaran bukan satu perbelanjaan tetapi dianggap pelaburan. Ramai yang terbabit dalam industri ini gagal untuk mempertahankan perniagaan mereka disebabkan kesilapan dalam pemasaran atau mengambil ringan mengenai aspek itu.


PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib beramah mesra dengan pelanggan sempena Jualan Cuci Gudang di Habib Jewels Ampang Point. - Foto Yazit Razali

"Mereka tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan dan akhirnya jenama atau perniagaan mereka semakin jatuh. Berbeza dengan Habib, saya menggunakan sepenuhnya peluang pemasaran yang ada untuk mempromosikan jenama Habib sama ada menerusi media cetak atau media elektronik," katanya.

Selain itu, beliau juga menjalankan usaha sama dengan pengeluar berlian hiasan antarabangsa seperti koleksi Queen's Heart dan Heart on Fire dari Amerika Syarikat.

Queens Heart dan Heart on Fire adalah dua entiti perniagaan berlian antarabangsa yang menjalinkan kerjasama perniagaan dengan Habib Jewel.

"Kerjasama itu adalah satu daripada usaha yang dilakukan syarikat untuk memperkukuhkan lagi jenama Habib Jewels sebagai peserta dalam industri," katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan dan pekerja supaya bekerja dalam satu pasukan.

"Saya sentiasa memastikan anak buah saya mempunyai pengetahuan dalam produk jualan mereka kerana ia menjadi perantaraan penting untuk meyakinkan pelanggan," katanya.


PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib (kanan) bersama isteri, Datin Seri Zarida Noordin (dua dari kanan) melayan pelanggan di Habib Jewels Aman Central. - Foto Amran Hamid

Beliau yang sudah berkecimpung selama 23 tahun dalam industri juga menerapkan konsep 'usahawan' dalam setiap pekerjanya sebagai langkah untuk memastikan perniagaannya terus berdaya maju.

"Di peringkat awal, saya banyak menekankan konsep mengajar daripada menjual. Ini kerana pelanggan kami perlu mengetahui kualiti produk dan konsep yang kami ketengahkan.

"Justeru, pekerja kami bukan hanya bertindak sebagai penjual tetapi boleh berkongsi mengenai maklumat produk jualan mereka kepada pelanggan. Mereka juga mampu menjadi sebagai perunding kepada pelanggan," katanya yang tidak menidakkan kepentingan sikap jujur dan ikhlas akan mencorak satu model perniagaan yang berjaya.

Tidak menolak cabaran dalam perniagaan, Meer Sadik berkata, setiap cabaran yang diterima adalah motivasi kepada syarikat untuk terus bertahan dan bersaing dalam industri.

"Memang diakui industri ini mempunyai pasang surut, apatah kini berdepan dengan penyusutan nilai ringgit dan situasi ekonomi global. Namun, saya tetap optimis industri kekal bertahan kerana barang kemas serta berlian masih mempunyai permintaan tinggi," katanya.

Optimis dengan pertumbuhan itu, Habib Jewels kini dalam perancangan untuk memperluaskan operasinya menerusi pembukaan lapan cawangan baharu berkonsepkan gabungan ketiga-tiga jenamanya, Habib Jewels, Pandora dan Ice-Watch.


PENGERUSI Pandora Malaysia, Datuk Seri Meer Sadik Habib (dua dari kiri), Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Seri Zarida Noordin (dua dari kanan), bersama Scha Alyahya (kiri), Lisa Surihani (kanan), merasmikan butik Pandora di Mid Valley. - Foto Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, lima cawangan itu akan dibuka pada tahun depan, manakala tiga lagi akan dibuka serentak di Sarawak pada Disember ini dengan perbelanjaan modal antara RM7 juta hingga RM10 juta bagi setiap cawangan.

"Kami sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan selain mengeluarkan produk berkualiti pada harga mampu milik. Selain itu, pembukaan cawangan terbaharu itu juga selari dengan permintaan tinggi di kalangan pelanggan kami," katanya.

Sehingga kini, jenama Habib bukan hanya dikenali di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga berkembang di luar negara seperti Hong Kong, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat selain Timur Tengah dan Eropah.

Meer Sadik berkata, perkembangan itu adalah hasil daripada pertalian rapat yang dijalin menerusi pameran Habib di luar negara selain usaha promosi yang berterusan.


PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib menunjukkan koleksi Donna Oro sempena Jualan Cuci Gudang di Habib Jewels Ampang Point. - Foto Yazit Razali

 

PROFIL

Nama: Datuk Seri Meer Sadik Habib

Jawatan: Pengarah Urusan 

Akademik: Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan Universiti Wichita State, Kansas, Amerika Syarikat

Kelayakan lain: Pakar Batu Permata dari Gemological Institute of America.

Berita Harian X