Isnin, 14 Disember 2015 | 2:21pm

SAJ lanjut bekalan air berjadual

JOHOR BAHRU: SAJ Holdings Sdn Bhd akan melanjutkan masa pembekalan air secara berjadual daripada 24 jam kepada 36 jam di sebahagian daerah ini dan Kota Tinggi.

Pengguna di kawasan Pasir Gudang, Masai dan sebahagian Johor Bahru akan menikmati bekalan air 36 jam dari 16 Disember hingga 31 Disember ini, dan 36 jam tidak menerima bekalan air, berbanding sebelum ini 24 jam menerima bekalan air dan 48 jam tidak menerima bekalan.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Jamaluddin Jamil, berkata keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa empangan Lebam dan Layang yang masih belum menunjukkan paras stabil serta masih di bawah paras kritikal.

Katanya, langkah itu dibuat selepas perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), termasuk keupayaan empangan untuk menampung simpanan air mentah apabila berdepan cuaca kering yang dijangkakan Januari hingga Mac tahun depan.

Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, operasi bekalan air berjadual untuk tempoh berkenaan akan terus dikaji oleh SAJ dan sekiranya paras empangan berada pada paras yang benar-benar stabil, maka jadual bekalan air itu akan dibatalkan.

Katanya, komitmen berterusan SAJ sebelum ini berjaya mengeluarkan dua zon daripada operasi air berjadual, menerusi kejayaan kejayaan pengolahan sistem bekalan air dari Loji Rawatan Air Sungai Johor yang dilakukan pada 9 Disember lalu dapat menyalurkan air kepada pengguna di Taman Desa Harmoni, Kampung Plentong Tengah, Rumah 10, Taman Saujana, Jalan Masai Lama, Taman Molek, Ponderosa dan Taman Redang.

Sementara itu, Jamaluddin berkata Empangan Sungai Lebam masih berada jauh dari bawah paras kritikal dan keadaan ini menyebabkan bekalan air berjadual dilanjutkan.

Justeru itu, pengguna di sebahagian kawasan mukim Tanjung Surat, Pantai Timur dan Pengerang di Kota Tinggi terus menerima bekalan air bersih secara berjadual dengan frekuensi yang sama iaitu 24 jam menerima bekalan air dan 48 jam tidak menerima bekalan air bermula Rabu ini sehingga 15 Januari 2016.

Berita Harian X