Isnin, 14 Disember 2015 | 10:04pm

Elak banyak perubahan barangan GST - pakar cukai

Datuk Subromaniam Tholasy
Datuk Subromaniam Tholasy

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengelak daripada melakukan terlalu banyak perubahan kepada senarai barangan berkadar sifar dan dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk memastikan kestabilan perniagaan.

Cukai itu, yang berkuat kuasa pada 1 April tahun ini, masih baharu untuk negara dan perniagaan, begitu juga rakyat, dan mereka memerlukan masa untuk memahami dan menyesuaikan diri dengannya, kata Pengarah GST Deloitte Malaysia, Senthuran Elalingam.

"Perubahan (berterusan) dalam senarai barangan berkadar sifar dan dikecualikan GST hanya akan menanggung kos dan membawa kepada kesilapan yang tidak diperlukan kepada perniagaan," katanya.

Walaupun lebih 160 negara melaksanakan cukai itu, Malaysia adalah unik kerana mempunyai paling banyak barangan berkadar sifar dan dikecualikan GST, kata Senthuram, yang juga Pemimpin Pasaran dan Pelanggan Cukai Tidak Langsung Asia Pasifik bagi Deloitte.

Beliau menjangka masalah awal dengan GST akan terus berlaku dengan beberapa industri, seperti farmaseutikal, pembangunan hartanah dan insurans, yang masih diselaraskan dengan beberapa isu tertunggak.

"Terdapat percanggahan dan pertikaian yang telah dibawa ke mahkamah oleh perniagaan, pengguna dan Jabatan Kastam, dan saya menjangka pada tahun depan, ini akan terus berlaku," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan membenarkan lebih banyak masa dan bertolak ansur kepada syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana, untuk memahami GST.

Semakan dengan Jabatan Kastam mendedahkan terdapat kira-kira 10 kes sudah dibawa ke mahkamah, manakala beberapa ratus siasatan sedang disiapkan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Kastam dan GST), Datuk Subromaniam Tholasy, berkata antara pertikaian yang dihadapi perniagaan dengan pelanggan mereka adalah dari segi terbitan nota debit dan nota kredit, apabila perniagaan sepatutnya menetapkan butiran seperti yang dinyatakan dalam Peraturan GST 2014.

"Peraturan 25(4) menghendaki nota mempunyai nama dan alamat orang yang kepadanya barang atau perkhidmatan itu dibekalkan. Pelanggan tidak selesa apabila butiran ini diminta oleh perniagaan.

"Butiran ini penting untuk mengelak penipuan kerana ia membabitkan pelarasan cukai input dan cukai output," kata Subromaniam.

Beliau berkata, pertikaian dengan Jabatan Kastam, kebanyakannya melibatkan sistem perakaunan, yang tidak disediakan dalam pindaan kepada undang-undang.

"Dengan tambahan barangan bagi berkadar sifar dan dikecualikan, ia mewujudkan kesukaran kepada perniagaan memandangkan sistem mereka telah ditetapkan sebelum pindaan," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X