Rabu, 16 Disember 2015 | 12:57pm

Tiga ditangkap ketika mahu menyamun


MOHD Zailan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan daripada kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LANGAT: Tiga lelaki berusia 19 hingga 26 tahun yang aktif melakukan samun bersenjata di sekitar daerah Kuala Langat sejak sebulan lalu, ditahan polis di Taman Dato Hormat, Telok Panglima Garang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Zailan Tasir, berkata suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari oleh anggota kereta peronda ketika dalam cubaan melakukan samun di kawasan berkenaan.

Katanya, dua hari sebelum ditangkap, suspek dilaporkan terbabit dengan dua kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka dan stesen minyak.

"Polis merampas dua bilah parang, kad bank, tabung duit syiling dan sebuah Myvi yang dilaporkan hilang di Klang baru-baru ini.

"Semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zailan berkata, seorang daripada suspek baharu sahaja dilepaskan daripada pusat pemulihan dadah, bulan lalu.

Berita Harian X