Rabu, 16 Disember 2015 | 5:05pm

Umat Islam hadapi krisis peradaban


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah hilangnya santun manusia dalam menghormati ketamadunan hingga wujud krisis peradaban adalah punca pelbagai masalah didepani dunia Islam ketika ini.

Titah baginda, krisis berkenaan tidak mungkin menemui penghujung sehingga manusia terutama umat Islam kembali pada fitrah dan konsep keadilan.

"Jalan menegakkan keadilan perlu didasari perkaitan dengan fitrah manusia kerana Allah memberi kebebasan kepada manusia untuk berbuat baik berbanding kejahatan dan sebaliknya.

"Seperti firman Allah, manusia yang akan menerima rahmat adalah dalam kalangan yang sentiasa bertakwa kerana sesungguhnya setiap perbuatan kamu tidak pernah lari daripada penglihatan-Ku.

"Sesiapa tanpa mengira lelaki dan perempuan yang berbuat baik dan mempercayai (kewujudan-Ku) akan dikurniakan kehidupan bahagia (di bumi) dan seterusnya (di akhirat) hasil kebaikan yang dilakukan," titah baginda.

Sultan Nazrin kemudian berkenan merasmikan pelancaran buku berjudul 'On Justice and The Nature of Man' (Keadilan dan Fitrah Manusia) karya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang diterbitkan Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM).

Buku setebal 57 halaman itu turut dihiasi lukisan abstrak seekor ikan seakan bebas berenang, yang melambangkan kebebasan suntikan fahaman Islam dalam kalangan umatnya.

Memetik amanat ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Nazrin bertitah, keadilan wajar berpaksikan kebebasan membuat keputusan tanpa dipengaruhi faktor luaran.

"Untuk memastikan supaya tanggungjawab itu dijalankan secara adil dan saksama, tanpa mengenal bulu dan roma, tanpa mengenal asal keturunan, bangsa dan agama, tanpa menyebelahi mana-mana pihak, maka hakim mestilah terdiri daripada orang yang bebas.

"Bebas daripada tekanan politik, desakan Parlimen dan pengaruh kawan bagi memastikan setiap keputusan berlandaskan undang-undang," titah baginda.

34 dibaca
Berita Harian X