Rabu, 16 Disember 2015 | 5:50pm

Peminat Star Wars berkampung di pawagam

PETALING JAYA: Demam Star Wars nampaknya semakin memuncak dengan pelbagai aktiviti dijalankan oleh peminat tegar filem sains fiksyen itu.

Sempena tayangan episod ketujuh siri filem terbabit, Star Wars: The Force Awakens, secara serentak mulai esok, lebih 200 ahli Star Wars Malaysia Fan Club (SWMFC) memilih untuk berkampung selama dua hari di TGV Sunway Pyramid, mulai hari ini.

Malah, ramai daripada ahli kelab itu sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menonton semula enam episod terawal filem berkenaan, selain membuat persembahan dengan memakai kostum karakter filem pada acara SWMFC Machete Screening and Premiere itu.

Pengarah projeknya, Sanjiv Indran, berkata mereka merancang untuk mengadakan acara itu sejak awal tahun lagi walaupun belum mengetahui tarikh tepat tayangan filem pecah panggung berkenaan di negara ini.

"Sebagai peminat, kami menantikan episod ini selama 10 tahun, jadi tentunya kami sangat teruja untuk menyaksikan episod ketujuh, malah mahu menjadi yang terawal menontonnya," katanya kepada Bernama.

Peminat setia siri filem itu, Nornadiana Dzulkarnain, 26, berkata beliau memilih untuk tidak menonton treler The Force Awakens supaya dirinya lebih berasakan debarannya ketika menonton di pawagam nanti.

"Saya mengharapkan perkembangan watak yang baik dalam semua karakter baharu yang diperkenalkan dalam Star Wars terbaharu, terutamanya watak antagonis, Kylo Ren," katanya yang menjadi peminat tegar Star Wars sejak berusia 15 tahun.

Peminat yang dikenali sebagai Azwar, 40, pula tidak sabar untuk mengetahui apa yang bakal terjadi kepada Luke Skywalker dan Han Solo memandangkan dua watak itu adalah tarikan utama dalam trilogi asal filem berkenaan.

"Adakah masing-masing sudah berkahwin? Adakah Dark Side masih mempunyai waris durjana? Saya tak sabar nak tahu," katanya ketika ditanya harapannya tentang episod terbaru. - Bernama

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X