Khamis, 17 Disember 2015 | 7:51am
SEKURANG-kurangnya 12 pekerja lombong kebanyakannya wanita maut akibat tanah runtuh dalam lombong emas di timur laut Guinea. - Foto Google

12 maut nahas lombong di Guinea

CONAKRY: Sekurang-kurangnya 12 pekerja lombong kebanyakannya wanita maut akibat tanah runtuh dalam lombong emas di timur laut Guinea, kata saksi dan pegawai tempatan.

Moussa Magassouba memberitahu AFP, dia keluar dari terowong di lombong emas di wilayah Siguiri untuk menghisap rokok dan kemudiannya terdengar 'dentuman kuat sebelum runtuhan menimbuskan kawan kami yang terperangkap di dalamnya.'

Namissata Foinke, isteri kepada seorang daripada mangsa berkata, ia berlaku ketika pekerja sedang beredar daripada kawasan lombong berkenaan.

Katanya, suami beliau adalah antara 12 orang yang terkorban.

Seorang pegawai tempatan, Aliou Guisse, berkata, angka kematian ialah 13 orang dan mangsa kebanyakannya wanita.

Beberapa pekerja lombong turut dibawa ke hospital dan klinik berdekatan di Boure Nafadji, 40 kilometer dari ibu negara wilayah itu.

Beribu-ribu pelombong menggali emas dalam keadaan berbahaya di wilayah itu yang terletak berdekatan dengan sempadan Guinea dengan Mali. - AFP

Berita Harian X