Khamis, 17 Disember 2015 | 9:08am

Gol lewat Cavani selamatkan PSG

PEMAIN PSG, Edinson Cavani memeluk rakan sepasukan, Angel Di Maria selepas menjaringkan gol ketika bertemu Etienned di Parc des Princes, Paris, awal pagi tadi. - Foto EPA

PARIS: Jaringan empat minit sebelum tamat permainan oleh pemain gantian, Edinson Cavani, membolehkan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) menang tipis 1-0 ke atas Saint Etienne pada aksi Piala Liga Perancis, awal pagi tadi.

Penjaring terbanyak PSG, Zlatan Ibrahimovic nyaris menghadiahkan gol pembukaan buat tuan rumah, namun sepakan guntingnya sekadar menggegar palang sebelum digantikan dengan Angel Di Maria selepas sejam perlawanan.

Gandingan Di Maria dan pemain gantian, Cavani nyata membuahkan hasil selepas hantaran Di Maria disudahkan Cavani untuk gol kemenangan PSG sekali gus mengelak daripada terpaksa bermain pada masa tambahan atau penentuan penalti.

PENYERANG Bordeaux, Cheick Diabate (kanan) bersaing dengan pertahanan Monaco, Ricardo Carvalho pada aski Piala Liga Perancis, di Bordeaux, awal pagi tadi. - Foto AFP

Sementara itu, Bordeaux menewaskan Monaco 3-0 dan Lyon memenangi perlawanan terakhir mereka di Stade Gerland, 2-1 menentang kelab divisyen dua, Tours.

Penyerang remaja, Adam Ounas meledak gol pembukaan pada minit ke-16 sebelum penyerang Uruguay, menyumbat gol kedua buat Bordeaux dan kapten pasukan, Henri Saivet menambah gol ketiga dua minit sebelum tamat perlawanan untuk membolehkan Bordeaux yang dibimbing Willy Sagnol itu mencatat kemenangan kedua dalam lapan perlawanan terakhir.

Dua gol daripada Claudio Beauvue memastikan Lyon mara ke peringkat suku akhir dengan keputusan 2-1 manakala Marseille turut mengetepikan pasukan Ligue 2, Bresse dengan kemenangan 3-2 selain Lorient, Lille, Guingamp dan juga Toulouse turut layak. - AFP

Undian Suku Akhir

  • Paris Saint-Germain mln Lyon
  • Toulouse mln Marseille
  • Bordeaux mln Lorient
  • Guingamp mln Lille
Berita Harian X