Khamis, 17 Disember 2015 | 10:17am

Kebebasan miliki senjata api bawa padah di AS

PENULIS masih ingat pada 2014, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sedih ketika berucap dalam upacara mengenang mangsa korban tembakan rambang di Sekolah Dasar Sandy Hook di Newtown. Sebanyak 26 nyawa melayang dalam tragedi itu, antaranya 20 kanak-kanak berusia 6 hingga 7 tahun.

Tangisan turut memenuhi ruangan tempat upacara mengenang mangsa tembakan ketika Obama membacakan nama 20 pelajar kelas satu SD yang menjadi korban dalam tragedi berkenaan.

Tetapi malangnya pada bulan lalu, masih terjadi pembunuhan beramai-ramai di San Bernardino, California. Serangan di San Bernardino adalah kejadian ke-353 tahun ini. Sebanyak 63 kes tembakan rambang membabitkan kawasan sekolah atas pelbagai sebab dan faktor.

Senjata melebihi penduduk

Setiap tahun kira-kira 4.5 juta senjata api, termasuk kira-kira dua juta pistol, yang dijual di Amerika Syarikat, melebihi jumlah penduduk. Ada laporan mengatakan senjata yang dimiliki, melebihi 400 juta. Hak untuk memiliki senjata dibenarkan oleh Second Amendment Perlembagaan AS. Dianggarkan sebanyak dua juta senjata api terpakai dijual setiap tahun.

Pun begitu, buat kali ke-17 sejak dipilih sebagai Presiden AS, Barack Obama cuba meyakinkan rakyatnya mengenai usaha mengawal penggunaan senjata. Pada 7 Disember 2015, Obama menyampaikan ucapan Oval Office mengenai isu keganasan menggunakan senjata di bumi AS, yang kebanyakan kes membabitkan rakyatnya sendiri.

Ucapan Oval Office kali ini menggambarkan kebimbangan dan kerisau-an banyak pihak termasuk dunia luar di sebalik serangan kumpulan IS atau Daesh (nama yang mula digunakan oleh media di Malaysia), yang turut meresapi AS.

Rata-rata AS berdepan dengan dua masalah besar iaitu serangan kumpulan pengganas atau radikal, dan juga serangan tembakan secara rambang disebabkan 'kebebasan' dari segi penggunaan senjata api. Ia antara isu jenayah yang sentiasa mendapat perhatian kepemimpinan negara itu saban tahun.

Pembunuhan beramai-ramai sudah banyak kali berlaku di AS. Pakar Kriminologi berpendapat, ada dua faktor yang menyebabkan berlakunya kes penembakan ini. Pertama, disebabkan budaya pemilikan senjata api yang terlalu banyak, selain masalah sakit mental dihadapi banyak rakyatnya.

Sudah pasti di sini perlu diakui bahawa AS juga adalah antara negara yang paling banyak mengeluarkan senjata api. Bukan sahaja digunakan dengan meluas dan bebas, malah dieksport ke negara-negara lain. Senjata api mudah dibeli di AS sebagaimana berlakunya kejadian menembak, yang dilihat sebagai perkara biasa.

Obama juga membangkitkan isu boleh memiliki senjata dengan mudah di AS. Susulan siri serangan rambang yang mengorbankan banyak nyawa, White House dilaporkan mengadakan perbincangan dengan pengeluar senjata api mengenai usaha mengawal penggunaan senjata.

Obama hanya mampu berjanji mengatakan bahawa beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk mencegah kejadian penembakan seperti itu berulang, malah hanya mampu meminta perubahan dalam cara kerajaan berurusan dengan kekerasan senjata walau kelihatannya beliau cuba menghindari penggunaan perkataan 'pengendalian senjata api'.

Beberapa pemimpin Parti Demokrat dan Senator Joe Lieberman daripada golongan bebas pernah mengatakan sudah sampai masanya mereka membahaskan isu pengawalan senjata. AS adalah negara yang mempunyai kadar milik senjata api di kalangan rakyat yang tertinggi di dunia.

Kes meningkat 30 kali ganda

Bilangan pembunuhan akibat penggunaan senjata di AS pada tahun 2013 dikatakan 30 kali ganda berbanding kes yang direkodkan di United Kingdom. Di dalam semua kes pembunuhan di AS, 60 peratus adalah disebabkan oleh penggunaan senjata api berbanding dengan 31 peratus di Kanada dan 10 peratus di United Kingdom. Statistik menunjukkan bahawa hanya beberapa kes dilakukan oleh warga asing atau rakyat AS yang berhijrah dari negara lain.

Mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Malaysia kematian akibat pembunuhan adalah dalam lingkungan dua orang setiap hari berbanding 35 kes di AS dengan penduduk sekitar 350 juta orang, Indonesia 17 orang dengan penduduk 230 juta, manakala di China 37 orang dengan 1.3 bilion orang.

Rata-rata perlu diakui bahawa kadar jenayah di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal berbanding apa yang disaksikan di beberapa negara lain termasuk di AS, yang berdepan dengan isu besar akibat kebebasan penggunaan senjata api.

Sementara kita bersimpati dengan apa yang berlaku di AS, kita juga berharap situasi yang sama tidak berlaku di Malaysia. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya ia perlu dipikul oleh semua pihak.

Penulis ialah Penganalisis Jenayah, Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP

Berita Harian X