Khamis, 17 Disember 2015 | 2:10pm

Sharina pergi meninggalkan kami - Suami


HANAFI menunjukkan gambar Sharina. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: "Akhirnya Sharina pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya," kata Hanafi Kamarudin, 25, dengan nada sebak berikutan kematian isterinya, awal pagi tadi.

Hanafi ketika dihubungi BH sebentar tadi, berkata dia reda di atas pemergian isterinya, Sharina Shafie, 24, yang koma kerana menghidap jangkitan kuman di bahagian otak.

Sharina yang menerima rawatan selama lapan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 pagi tadi.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati apabila dipanggil oleh doktor supaya masuk ke bilik yang menempatkan isterinya.

"Sebak saya melihatnya (Sharina) ketika itu dan doktor memberitahu keadaannya semakin tenat.

"Saya mengusap tangannya dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Jenazah Sharina akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga, Rantau Panjang selepas Zuhur hari ini.

Hanafi berkata, apa yang dia perlu fikirkan sekarang ialah untuk membesarkan anak sulungnya, Mohd Harraz Danial berusia lapan bulan yang masih menyusu badan.

"Saya reda dan kuatkan semangat demi anak tunggal kami," katanya.

BH semalam melaporkan kisah Mohd Harraz yang susut berat badan berikutan ibunya dimasukkan ke ICU HRPZII kerana mengalami jangkitan kuman.

Berikutan kesukaran Mohd Harraz untuk menyusu badan, seorang guru wanita dari Pasir Mas sanggup memberi susu badannya.

Mohd Harraz kini dijaga ibu saudara Sharina, Hasnah Ismail, 40, dan kakak ipar Hanafi, Sharini Shafie, 28, terpaksa dibiasakan menyusu dengan susu formula.

Berita Harian X