Khamis, 17 Disember 2015 | 4:27pm

Helang Merah ikat penyerang Brazil

 KEDAH memilih pemain dari Brazil, Carlos Eduardo de Souza Floresta atau Carlos Kahe.
KEDAH memilih pemain dari Brazil, Carlos Eduardo de Souza Floresta atau Carlos Kahe.

ALOR SETAR: Kedah memilih pemain dari Brazil, Carlos Eduardo de Souza Floresta atau Carlos Kahe bagi memantap jentera serangan dalam saingan Liga Super tahun depan.

Kehadiran Carlos Kahe, 33, dari kelab Oeste itu disyorkan rakan senegaranya Sandro Da Silva bagi menggantikan Chidi Edeh.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Aminuddin Omar berkata jawatankuasa persatuan memutuskan mengambil pemain itu berdasarkan prestasi ditunjukkannya ketika menyertai beberapa kelab di negaranya selain Jerman dan Turki.

Carlos Kahe dijadual datang ke Kedah pada 15 Januari ini bagi proses suai diri dan dinilai.

"Ketika ini pemain itu bebas dari sebarang kecederaan serius," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri.

Aminuddin berharap bahagian serangan yang tumpul sebelum ini dapat dibaiki dengan kehadiran pemain itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Chidi Edeh yang telah membantu Kedah hingga mara ke final Piala Malaysia.

"Selain Carlos Kahe, lima pemain Harimau Muda B termasuk penjaga gol Mohd Farhan Abu Bakar turut menandatangani kontrak bagi musim depan," katanya.

Sementara itu Aminuddin berkata pihaknya juga sedang menunggu keputusan daripada jurulatih kecergasan Ramon Marcote untuk mengisi kekosongan jawatan penolong jurulatih.

Beliau berkata Ramon yang kini berada di Sepanyol dipercayai sedang mempertimbangkan tawaran tersebut.

-- BERNAMA

Berita Harian X