Khamis, 17 Disember 2015 | 11:40pm

Tayar belakang pesawat AirAsia pecah sebaik mendarat

SIBU: Pesawat A320 AirAsia tidak dibenarkan berlepas di Lapangan Terbang Sibu malam ini, selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira 7.20 malam tadi.

Pengurus Malaysia Airport Bhd Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata semua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak cedera dan pesawat tidak dibenarkan berlepas setelah diarah ke 'Bay 3', sebaik sahaja mendarat.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan rosak, namun ia tidak menjejaskan jadual lain-lain penerbangan, malam ini.

"Pesawat sudah diletakkan di 'open bay' kami dan sedang dibaiki manakala lampu landasan sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam ini, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijangka berlepas awal pagi ini.

Punca insiden masih dalam siasatan.

Sementara itu, difahamkan kejadian itu mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan, MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.

- BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X