Jumaat, 18 Disember 2015 | 5:28pm

UMT jumpa penduduk bincang isu hakisan pantai

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusaha menangani masalah hakisan yang melanda Pantai Tok Jembal yang kini merebak ke Pantai Kampung Mengabang Telipot, di sini.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata pihaknya menerima rungutan daripada komuniti setempat yang mendakwa hakisan itu berlaku berpunca daripada tambakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan pantai universiti awam itu.

"Kita mengambil pendekatan untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak terbabit dengan bersepakat untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara terbaik.

"Kita juga membincangkan cadangan sementara yang boleh dilakukan sekiranya pemindahan penduduk terutama yang berada di kawasan hakisan.

"Malah, kita di UMT sudah menubuhkan jawatankuasa khas hakisan yang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan JPS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Taklimat Isu Hakisan di Mengabang Telipot di Kompleks Kuliah Berpusat, UMT, di sini, hari ini.

Yang turut hadir wakil komuniti Kampung Mengabang Telipot, Datuk Hassan Ali; Penolong Jurutera Bahagian Pantai JPS negeri, Ismail Jusoh; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT, Dr Ahmad Jusoh dan Pengarah Makmal Berpusat UMT, Prof Madya Dr Mohammad Fadhli Ahmad.

Nor Aieni berkata, pihaknya kini mahu mempercepatkan kajian, termasuk pemodelan baharu yang lebih berkesan bagi mengelakkan masalah hakisan itu tidak terus merebak ke kawasan lain.

Katanya, pihaknya mahu melihat secara terperinci kesan dan struktur baharu yang akan dibina serta sudah dibina dan kesan jangka panjang.

"Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, JPS dan bahagian teknikal lain bagi menyediakan satu kertas cadangan untuk dihantar kepada kementerian," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X