Sabtu, 19 Disember 2015 | 10:13pm

Peng Soon/Liu Ying ke separuh akhir GP Emas Mexico City


PEMAIN perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying berada pada landasan terbaik meraih gelaran ketiga mereka musim ini selepas mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Mexico City, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu, yang menjuarai Terbuka Poland pada Mac, diikuti GP Emas Terbuka Russia (Julai), bagaimanapun terpaksa bertungkus-lumus sebelum menundukkan Kenta Kazuno/Ayane Kurihara dari Jepun 21-14, 7-21, 21-16 di suku akhir.

Di separuh akhir, Chan/Goh akan menentang pasangan Sweden, Nico Ruponen/Amanda Hogstrom, yang membuat kejutan menang 21-19, 20-22, 21-17 ke atas beregu veteran Thailand, Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan Goh V Shem/Tan Wee Kiong, yang baharu menjuarai GP Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu, menerima tentangan hebat Michael Fuchs/Johannes Schoettler dari Jerman sebelum menang 21-19, 14-21, 21-9.

Pasangan Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei turut meneruskan kemaraan selepas menundukkan Heather Olver/Lauren Smith dari England 17-21, 21-11, 21-17.

Sementara itu, juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli, terus lemas dalam saingan senior apabila tewas 12-21, 12-21 kepada pemain veteran Jepun, Sho Sasaki di suku akhir.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$50,000 (RM214,424). - BERNAMA

Berita Harian X