Ahad, 20 Disember 2015 | 12:22am
ANTARA kehidupan yang terdapat di Pulau Sibu.
ANTARA kehidupan yang terdapat di Pulau Sibu.
PULAU Sibu terkenal dengan kehidupan marin yang berwarna-warni seperti batu karang dan gua kecil di bawah laut
PULAU Sibu terkenal dengan kehidupan marin yang berwarna-warni seperti batu karang dan gua kecil di bawah laut

Pulau Sibu, kecil tapi indah

PEMANDANGAN yang mendamaikan di Pulau Sibu menarik ramai pengunjung.
PEMANDANGAN yang mendamaikan di Pulau Sibu menarik ramai pengunjung.

PULAU Sibu mungkin destinasi percutian di pulau di Semenanjung yang kurang popular seperti Pulau Perhentian di Terengganu, Tioman di Pahang atau Pangkor, Perak.

Hakikatnya, pulau kecil yang terletak di perairan Mersing, Johor adalah sebuah pulau peranginan yang tidak kurang cantiknya dan menyenangkan hati pengunjung.

Terletak kira-kira 12 kilometer (km) dari tanah besar, Pulau Sibu dipenuhi dengan hutan hujan yang subur menghijau serta rentangan pantai dengan pasir memutih dan kebiruan air Laut China Selatan yang jernih.

Melihat kepada kedudukannya, memang Pulau Sibu sangat sesuai sekali untuk dijadikan percutian yang mendamaikan.

Di pulau ini, kita terasa benar-benar bercuti. Anda boleh baring di bawah rimbunan pokok di tepi pantai sambil dihembus bayu yang pastinya sungguh mengasyikkan.

Pulau Sibu juga terkenal dengan kehidupan marin yang berwarna-warni seperti batu karang dan gua kecil di bawah laut yang menjadi tempat ikan kecil menyembunyikan diri.

Jadi, ini boleh menjadi aktiviti pilihan kepada pengunjung yang berminat untuk melakukan aktiviti laut seperti snorkeling atau menyelam.

Penulis yang pernah tiba di Pulau Sibu berasakan keindahan dan kedamaian pulau ini seakan-akan sudah dapat dirasai sebelum bot yang dinaiki merapati jeti.

AKTIVITI menyelam antara aktiviti utama di Pulau Sibu.
AKTIVITI menyelam antara aktiviti utama di Pulau Sibu.

Pasir bercahaya pada waktu malam

Pulau Sibu adalah antara 13 pulau dalam Taman Laut Pulau Tinggi.

Pulau lain ialah Pulau Harimau, Pulau Mensirip, Pulau Goal, Pulau Besar, Pulau Sibu Hujung, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Rawa, Pulau Tinggi, Pulau Mentinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

Pulau Mentinggi dikatakan sering menjadi tumpuan penyelam kerana di perairan pulau ini dikatakan terdapat bangkai kapal dagang yang karam. Pulau ini juga dianggap lokasi sesuai untuk aktiviti snokerling dan latihan bagi penyelam baru kerana permukaannya disifatkan sebagai tidak terlalu dalam, manakala arusnya pula terkawal.

Terletak bersebelahan dengan Pulau Sibu ialah Pulau Tinggi yang turut menjadi satu lagi lokasi untuk aktiviti snokerling.

Sementara itu, tidak cukup dengan aktiviti laut di pulau berhampiran, Pulau Sibu juga turut menyajikan aktiviti berjalan dalam hutan (trekking), mendaki bukit dan melalui sebuah gua yang pintunya berbentuk hati, manakala penamatnya pula adalah di puncak bukit yang akan memperlihatkan keseluruhan pulau ini.

Malahan, jika kita bermalam pada di Pulau Sibu, janganlah memerap dalam bilik penginapan atau lepak di restoran saja, tetapi keluarlah berjalan-jalan di pesisir pantai. Anda mungkin akan terlihat pasir yang berwarna kebiruan kelihatan seperti bercahaya.

Ketika ini pelbagai agensi pelancongan di Johor giat mempromosikan Taman Laut Pulau Tinggi sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi.

Matlamatnya adalah untuk menjadikan pelancongan kepulauan di negeri setanding dengan pulau di Malaysia seperti Tioman, Sipadan, Mabul dan Perhentian.

Info untuk ke Pulau Sibu.

    Untuk ke Pulau Sibu, anda perlu menaiki bot atau feri dari jeti Tanjung Leman, di selatan Mersing.

    Dari Mersing, ambil laluan ke Kota Tinggi/Johor Bahru dan anda akan menemui simpang belok ke kiri dengan papan tanda Tanjung Leman.

    Jarak Tanjung Leman dari Mersing kira-kira 44 km, manakala dari Kota Tinggi sekitar 48 km.

    Dari Kuala Lumpur ke Jeti Tanjung Leman (4 jam) atau Jeti Mersing (51/2 jam perjalanan).

    Dari Singapura ke Jeti Tanjung Leman (2 jam) atau Jeti Mersing (21/2 jam perjalanan).

    Perjalanan bot laju atau feri dari Tanjung Leman ke Pulau Sibu kira-kira 30 minit

Tambang sehala feri dari Tanjung Leman ke Pulau Sibu

- RM70 untuk dewasa

- M35 untuk kanak-kanak

Jadual Waktu feri dari Tanjung Leman ke Pulau Sibu setiap hari

- Jam 11 pagi dan 2 petang

Waktu feri dari Pulau Sibu ke Tanjung Leman setiap hari

- Jam 10 pagi dan Jam 2 petang

Berita Harian X