Ahad, 20 Disember 2015 | 4:04pm

Mulvey sertai Terengganu bantu Ahmad Yusof


KETUA Jurulatih Terengganu, Ahmad Yusof (Kanan) bersalaman dengan penasihat teknikal merangkap penolong ketua jurulatih Terengganu Mike Mulvey. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan Mike Mulvey dilantik sebagai penasihat teknikal merangkap penolong ketua jurulatih Terengganu bagi musim 2016.

Bekas pengendali Sabah itu bersetuju dengan tawaran yang diberikan apabila menandatangani kontrak setahun, sebentar tadi.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman.

Beliau berkata, pengendali berusia 52 tahun itu akan memulakan tugas dengan Terengganu berkuat kuasa hari ini.

"Hasil perbincangan terakhir hari ini, Mulvey bersetuju dengan kontrak yang kita tawarkan dan menandatangani kontrak setahun.

"Kita harap kehadiran Mulvey dapat membantu ketua jurulatih, Ahmad Yusof membentuk pasukan terbaik dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan," katanya.

Jurulatih kelahiran Manchester, England yang memiliki kerakyatan Australia sebelum diheboh diperkatakan mungkin menyertai Terengganu selepas kelibatnya dilihat ketika sesi pemilihan pemain import skuad Penyu.  

Malah, sebelum ini PBSNT sudah membuat tawaran kepada Mulvey, namun bekas pengendali kelab Liga Australia, Brisbane Roar dilaporkan mahu mengkaji terlebih dahulu tawaran diterima.

Sebagai rekod, Mulvey sebelum ini juga menjadi penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun Australia tahun 2007 hingga 2009, Melbourne Victory (2012), Brisbane Roar FC (2012-2014) dan Sabah (2015).

Berita Harian X