Isnin, 21 Disember 2015 | 8:04am

Peniaga ditoreh dalam cubaan ragut

 

 

ALOR SETAR : Seorang lelaki cedera pada tangan kiri apabila ditoreh dengan pisau ketika melawan empat peragut yang cuba meragut wang hasil perniagaannya di Jalan Gangsa, di sini, semalam.

 

Dalam kejadian itu jam 1 pagi, Lee Cheng Guan, 49, menunggang motosikal seorang diri sebelum sebuah kereta melanggarnya dari belakang.

 

Sebaik terjatuh, empat lelaki yang menaiki dua motosikal mengepung Cheng Guan lalu cuba merentap beg sandang berisi duit hasil perniagaannya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditoreh pada tangan kiri.

  

"Ketika itu saya baharu saja menutup pusat hiburan keluarga di Jalan Gangsa sebelum bergerak pulang dengan motosikal lalu dilanggar kereta," katanya tetapi tidak menyatakan jumlah di dalam beg sandang yang cuba dilarikan peragut.

 

Cheng Guan berkata, dia tetap melawan walaupun dalam keadaan cedera menyebabkan empat lelaki terbabit putus asa dan melarikan diri tanpa sempat mengambil beg sandangnya.

"Mujur dalam kejadian itu saya terselamat dan mengalami kecederaan ringan. Saya tidak terfikir sanggup melawan tanpa mempedulikan nyawa sendiri.

"Saya tidak kenal mereka namun kemungkinan sudah diekori sebelum mereka bertindak melanggar dan cuba meragut beg saya," katanya yang mendapatkan rawatan di klinik seterusnya membuat laporan di Balai Polis Alor Setar.

   
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Berita Harian X