Jumaat, 10 Oktober 2014 | 2:56pm

F1: Marussia guna satu jentera di GP Russia

SOCHI: Pasukan Formula Satu (F1) Marussia akan berlumba di Grand Prix (GP) Russia dengan menggunakan satu jentera sebagai penghormatan kepada pelumba Perancis, Jules Bianchi yang masih kritikal akibat kemalangan, kata pasukan itu, hari ini.

Bianchi kekal dalam keadaan kritikal namun stabil di hospital di Jepun selepas berdepan kemalangan apabila jenteranya merempuh belakang traktor pengangkut di GP Jepun sebelum dilaporkan berdepan kecederaan otak.

"Pasukan sudah menulis surat kepada pegawai perlumbaan ketika mesyuarat untuk memberitahu mereka tidak akan menggunakan jentera kedua mereka," kata kenyataan yang dikeluarkan Marussia.

BAHAGIAN depan garaj pasukan Marussia di GP Russia tetap menampilkan nama Jules Bianchi. Marussia hanya akan berlumba menggunakan sebuah jentera pada perlumbaan hujung minggu ini. - Foto AP
BAHAGIAN depan garaj pasukan Marussia di GP Russia tetap menampilkan nama Jules Bianchi. Marussia hanya akan berlumba menggunakan sebuah jentera pada perlumbaan hujung minggu ini. - Foto AP

Selain Bianchi, Marussia menyenaraikan pelumba Britain, Max Chilton selain pelumba gantian rasmi, Alexander Rossi untuk perlumbaan di Russia sebelum menukar keputusan hari ini.

"Pasukan merasa yakin dengan meletakkan satu jentera... adalah tindakan yang tepat ketika menghadapi situasi sukar minggu ini," kata Marussia.

"Krew Jules sudah menyiapkan sebuah jentera kedua, yang sudah bersedia untuk berlumba dan ia akan kekal di tepinya di dalam garaj sepanjang minggu.

"Sebagai sokongan kepada Jules dan keluarganya, pasukan dan jenteranya akan menggunakan grafik #JB17 untuk memastikan sekalipun Jules tidak bersama mereka di Sochi, dia masih berlumba bersama pasukan F1 Marussia," kata kenyataan itu. - Reuters

Berita Harian X