Isnin, 21 Disember 2015 | 9:23pm

Rebut kawasan punca pergaduhan kongsi gelap


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (dua kiri) menunjukkan sebahagian senjata dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan jenayah kumpulan terbabit. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perebutan kawasan dan ingin menguasai tempat di sekitar daerah Kajang, dipercayai menjadi punca utama perselisihan faham dua kumpulan kongsi gelap hingga berlaku kejadian bunuh, samun, culik dan pemprosesan dadah.

Malah, polis juga tidak menolak kemungkinan semua mangsa dalam kejadian bunuh dan dilarikan turut mempunyai kaitan dengan elemen keganasan yang dicetuskan oleh Geng 36 dan Geng Satu Hati, yang berlaku di sekitar daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata setakat ini, pihaknya sudah menahan lima individu dan merampas empat pucuk pistol, yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah kumpulan terbabit.

"Sejak 6 November hingga 1 Disember lalu, dua kes bunuh membabitkan mangsa dua lelaki dan satu kanak-kanak perempuan yang ditembak mati suspek tidak dikenali serta satu kes melarikan orang berlaku di Kajang.

"Sehubungan itu, JSJ Selangor, melancarkan Operasi Cantas Khas Kajang dan menahan 34 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap," katanya pada sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Beliau memberitahu, susulan Ops Cantas Khas itu juga pihak polis kemudian menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan Geng Satu Hati, di Bandar Sunway pada 18 Disember lalu sebelum menemui empat pucuk pistol dan 69 butir peluru hidup.

"Sebahagian pistol itu dipercayai digunakan bagi tujuan samun kedai emas dan melepaskan tembakan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak tahun 2013 hingga sekarang," katanya.

Berita Harian X