Isnin, 21 Disember 2015 | 10:11pm

Lelaki, adik ipar, ditahan kes dera budak 4 tahun


LOKASI rumah suspek di Kampung Sungai Udang, di Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

KLANG: Seorang lelaki dan adik ipar perempuannya direman selama seminggu bermula hari ini susulan penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di rumah suspek di Kampung Sungai Udang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak, berkata kedua-duanya yang berusia 39 tahun dan 29 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Mangsa adalah anak kepada teman wanita lelaki itu.

"Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati dia mati akibat kecederaan di kepala kerana dipukul dengan objek tumpul," katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.

Menerusi aduan daripada jiran lelaki itu, polis menemui mayat kanak-kanak itu dibaluti tuala putih di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan.

Polis turut menemui sebatang rotan dan sebatang paip PVC dipercayai digunakan untuk memukul kanak-kanak itu.

Azman berkata, mayat kanak-kanak itu telah diserahkan kepada bapa saudaranya untuk dikebumikan di Mentakab, Pahang.

Beliau berkata, berkata pihaknya memerlukan keterangan ibu kandung mangsa yang masih berada di wad bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

BH semalam melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai mangsa dera ditemui mati di sebuah rumah di Jalan Sungai Udang, di sini.

Sementara itu, adik kepada ibu mangsa yang enggan dikenali, berkata kakaknya mengambil mangsa dari jagaan ibu bapa mereka di Mentakab, Pahang, kira-kira sebulan lalu.

Bagaimanapun, tiga anaknya yang lain, berusia lapan tahun hingga 16 tahun masih di Mentakab.

"Kami tidak mengenali suspek tetapi kakak beritahu dia menjadi isteri kedua lelaki itu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ibu saudara mangsa, Hamidah Mohd Yusof, 33, berkata abangnya yang juga bapa kandung mangsa, Affendi, 40, tidak sanggup untuk melihat keadaan jenazah anak dan meminta dia membantu menguruskan urusan menuntut mayat.

Berita Harian X