Selasa, 22 Disember 2015 | 5:01pm

LHDN perlu perkasa usaha atasi isu cukai - Johari


MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Abdullah Yusof

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memperkasa usaha mengatasi isu jurang cukai bagi merealisasikan sasaran kutipan hasil berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata antara isu yang perlu diatasi termasuk kegagalan pembayar mengemukakan borang cukai, tidak melaporkan hasil pendapatan dan potongan cukai sebenar serta perbuatan mengelak daripada menunaikan tanggungjawab membayar cukai.

"LHDN sebagai ejen kutipan hasil kepada negara, perlu sentiasa menjadi pemacu dalam meningkatkan produktiviti pengurusan percukaian supaya ia lebih efektif bagi mengatasi sebarang isu (yang berbangkit)," katanya merasmikan Pusat Pemprosesan Maklumat (PPM) LHDN di Bandar Baru Bangi, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Untuk rekod, LHDN menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM142 bilion tahun ini, peningkatan RM2 bilion berbanding tahun sebelumnya, namun Kementerian Kewangan menurunkan sasaran itu kepada sekitar RM130 bilion berikutan kejatuhan harga minyak.

Sementara itu, Shukor berkata, LHDN menerima sejumlah 4.14 juta Borang Nyata Cukai menerusi kaedah e-filing sehingga semalam, iaitu melepasi sasaran 4.0 juta borang penyata bagi tahun ini.

"LHDN sentiasa berusaha untuk menguruskan permintaan para pembayar cukai dengan sebaik mungkin. Ini termasuk penyediaan pelbagai perkhidmatan elektronik atau 'e-services' (e-perkhidmatan) bagi kemudahan urusan pembayaran cukai," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X