Selasa, 22 Disember 2015 | 9:07pm
SHEILA Abdull. - Foto instagram Sheila Abdull
SHEILA Abdull. - Foto instagram Sheila Abdull

Sheila pilih anggota Drama Band sebagai bakal suami

SHEILA Abdull selamat bertunang dengan Ammar Habir 20 Disember lalu. - Foto instagram Sheila Abdull
SHEILA Abdull selamat bertunang dengan Ammar Habir 20 Disember lalu. - Foto instagram Sheila Abdull

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sheila Abdull, 27, selamat melangsungkan pertunangan dengan anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir, 26, pada 20 Disember lalu.

Majlis berkenaan diadakan secara sederhana di rumah keluarga Sheila di Taman Ihsan Jaya, Johor Bahru, dengan dihadiri kira-kira 50 tetamu.

Pasangan selebriti itu mengambil keputusan bertunang selepas setahun bercinta. Bagaimanapun, kedua-duanya sudah lama saling mengenali apabila sama-sama terbabit dalam bidang seni.

Kata Sheila, Ammar pernah bermain gitar ketika rakaman lagunya, Pengkhianat Cinta, tiga tahun lalu.

Lelaki itu juga mencipta lagu terbaharunya, Kata Hati, yang mendapat sentuhan Habsah Hassan sebagai penulis lirik.

"Mengikut perancangan, kami akan bertunang selama setahun. Panjang jodoh dan umur, kami akan berkahwin selepas tempoh itu.

"Majlis perkahwinan kami juga akan diadakan di Johor Bahru berikutan ramai sanak-saudara saya yang tinggal di sana.

"Majlis di pihak lelaki pula mungkin dilangsungkan di ibu kota kerana kebanyakan keluarga bakal suami berada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi.

Mengenai tunangnya itu, Sheila menyifatkan Ammar sebagai lelaki penyabar, mempunyai minat seni yang sama dengannya dan tidak mengongkong.

"Walaupun Ammar muda setahun daripada saya, dia sebenarnya sangat matang," kata Sheila yang akan terus aktif menyanyi walaupun selepas bergelar isteri kepada pemuzik terbabit.

Sheila menggayakan rekaan @keqasehbyyanas pada majlis pertunangannya, manakala jurugambar rasmi ialah @whitelipsstudio.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X