Rabu, 23 Disember 2015 | 7:21pm

Sultan Kelantan lancar Waqaf Tunai MAIK


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V bersalaman dengan petugas ketika hadir untuk merasmikan Waqaf Tunai, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menyempurnakan majlis pelancaran Waqaf Tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di sini, malam tadi.

Pelancaran wakaf tunai itu bertujuan mengutip dana bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Waqaf untuk pembinaan Pondok Bunut Payong bernilai RM5.6 juta, di Mukim Pintu Geng, Kampung Bunut Payong, di sini.

Projek membabitkan pembinaan dua bangunan asrama empat tingkat bagi menempatkan 500 pelajar lelaki dan perempuan Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah Bunut Payong, sebuah dewan serba guna dan dua rumah warden.

Ruang untuk pelajar beriadah dan pondok ibadat juga akan dibina di kawasan seluas 0.76 hektar di Bunut Payong.

Yang turut hadir Yang Dipertua (YDP) MAIK, Tengku Mahkota Kelantan; Dr Tengku Mohamad Fa-Iz Petra; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Mufti negeri, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad; dan Timbalan YDP MAIK, Datuk Serpuddin Mohamad.

Terdahulu, Sultan Mohammad V bertitah supaya umat Islam memberi sokongan kepada program Waqaf Tunai MAIK.

Titah baginda, sokongan itu penting dengan umat Islam berwaqaf secara tunai bagi menjana kutipan untuk mencapai objektif MAIK melaksanakan projek pembangunan pondok berkenaan.

"Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada adinda beta (Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra) selaku Yang Dipertua (MAIK) atas inisiatif dan komitmen yang diambil untuk merealisasikan pelancaran Waqaf Tunai hari ini.

"Marilah kita berdoa semoga program ini mendapat barokah dengan sokongan umat Islam, sekali gus menjana kutipan bagi mencapai objektif rancangannya di samping meningkatkan kesatuan ummah," titah baginda.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Serpuddin Mohamad, dalam ucapannya berkata, projek pembangunan Pondok Bunut Payong akan memberi peluang umat Islam berwaqaf.

"Mereka boleh menyumbang walaupun dalam jumlah kecil seperi RM5 atau RM10," katanya.

Pada tahun 1958, Madrasah Ahmadiah atau lebih dikenali Pondok Bunut Payong memperkenalkan sistem pendidikan persekolahan agama rakyat yang didaftar di bawah MAIK.

Pada 1Julai 1974, Pondok Bunut Payong diambil alih oleh kerajaan di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan bantuan kerajaan Kelantan.

Madrasah berkenaan kini dikenali sebagai SMU (A) Sullamiah Bunut Payong.

Berita Harian X