Khamis, 24 Disember 2015 | 11:43am

Bangkai paus cetus kebimbangan pelancong di Cape Town

CAPE TOWN, Afrika Selatan: Pantai popular di bandar raya ini yang sepatutnya dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara, ditutup apabila bangkai seekor ikan paus kelasa ditemui kerana pihak berkuasa bimbang darah mamalia itu boleh mengundang kehadiran jerung.

Pantai yang popular dengan kunjungan pelancong dan peminat luncur layar, di bandar peranginan Strand, dekat Cape Town mempunyai pelbagai acara sukan air termasuk perahu layar, papan luncur, bot laju dan ski air.

Namun suasana suram semalam apabila beratus-ratus orang berkumpul bagi menyaksikan kerja memindahkan bangkai ikan paus berkenaan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana ikan paus itu mati, apabila bangkainya dihanyutkan ke tepi pantai pada petang Selasa manakala kesan luka di bahagian tepi menimbulkan spekulasi kemungkinan mamalia berkenaan dilanggar bot.

Pengurus Sumber Alam Sekitar Cape Town, Gregg Oelofse, berkata punca kematian paus berkenaan tidak dapat dipastikan.

"Kami jangka sama ada ia sudah tua atau sakit. Tiada bukti dilanggar bot. Memang bukan sesuatu yang luar biasa bagi haiwan untuk mati terutama ikan paus. Kami biasa nampak haiwan ini mendekati pantai, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Media tempatan melaporkan, ikan paus itu berukuran 14 meter panjang dan dua ekor jerung kelihatan di kawasan pantai berkenaan.

Sementara itu, media tempatan berkata, bangkai paus terbabit ditanam di tapak pelupusan selepas tiga jentera berat digunakan untuk mengalihkannya. - Agensi.

Berita Harian X