Sabtu, 26 Disember 2015 | 2:27pm

Aliran trafik lebuh raya perlahan mulai tengah hari

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya dilaporkan semakin perlahan mulai 12 tengah hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd, ketika dihubungi, berkata aliran trafik dari arah Selatan iaitu Pulai ke Simpang Renggam perlahan berikutan banyak kenderaan mula menggunakan laluan itu.

Menurutnya, aliran trafik arah utara juga mula perlahan dari Gopeng menghala ke utara.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, terdapat kemalangan di KM303.4 arah utara dari Tapah ke Gopeng pada pukul 11.50 pagi tadi menyebabkan trafik perlahan.

"Kerja-kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, pertambahan kenderaan dari Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur juga menyebabkan aliran trafik perlahan di Lebuhraya Pantai Timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- BERNAMA

Berita Harian X