Ahad, 27 Disember 2015 | 12:01am

Penulis muda mandulkan sastera

KESAN penjajahan British ke atas alam Melayu membawa perubahan yang besar, khususnya terhadap dunia kesusasteraan yang menjadi topik perbincangan.

Penjajah mengubah paksi kesusasteraan Melayu yang berpaksikan tauhid kepada paksi sekular, sekali gus dapat dilihat pada isi dan bentuk karya sastera.

Penjajah memperkenalkan bentuk baharu sastera yang bersifat kreatif, iaitu sajak, novel, cerita pendek atau cerpen dan drama.

Perubahan bentuk luaran inilah yang dikatakan dunia kesusasteraan sudah mencapai kemodenan.

Bagaimanapun, hal ini disanggah oleh ilmuwan ulung, Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Katanya, pemodenan yang dikatakan itu hanya merujuk aspek luaran (sajak, novel, cerita pendek, dan drama).

Al-Attas menegaskan kemodenan tidak sepatutnya mensyaratkan kepada aspek luaran saja, sebaliknya pada hemat beliau, 'aspek luaran bukan syarat sah untuk menilai pembaharuan.'

Hari ini, kita mengenali karya sastera hanya pada sifat kreativiti semata-mata. Karya yang dihasilkan semasa kegemilangan kesusasteraan Melayu, iaitu semasa kedatangan Islam pada abad ke-16 dan ke-17 tidak dianggap sebagai karya sastera.

Pada zaman itu, karya dikenali sebagai karya persuratan. Karya persuratan itu dihasilkan oleh pengarang yang bijaksana, alim ulama dan cendekiawan yang tinggi daya keintelektualan.

Karya mereka tidak dianggap sebagai karya sastera, sebaliknya dikenali sebagai karya agama yang tiada kaitan dengan sastera, malah mereka juga tidak dianggap sebagai tokoh penting dalam dunia sastera.

Hakikat ini berlaku kerana makna 'sastera' sudah disempitkan kepada karya bersifat imaginasi.

Kata Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir, sastera itu membawa maksud 'kumpulan buku yang berfaedah', yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit.

Konteks ini memberi kefahaman kepada kita bahawa karya sastera ialah karya yang berilmu kerana makna faedah itu jelas adalah bermakna ilmu.

Seterusnya, karya sastera tidak lagi ditulis oleh orang bijak pandai seperti zaman persuratan, sebaliknya ditulis oleh orang yang 'mabuk berkhayal.' Hal ini kerana sastera sudah difahami dalam konteks yang sempit seperti yang dijelaskan di atas.

Oleh itu, sesiapa saja boleh menulis asalkan tinggi sifat imaginasi dan khayalannya. Semakin tinggi khayalan, semakin bermutu karya yang dihasilkan.

Dunia kesusasteraan semakin hari semakin dikotori oleh penulis yang tidak pernah faham atau mendalami dunia kesusasteraan terutama pengarang yang tidak pernah mempelajari bidang kesusasteraan, sebaliknya mereka hanya menulis sekadar minat.

Penulis sebegini bukan bermatlamat untuk memajukan dunia kesusasteraan, sebaliknya hanya untuk mendapat beberapa anugerah atau lebih rendah pun mendapat honorarium dan royalti. Penulis sebeginilah yang memandulkan dunia kesusasteraan.

Karya yang mereka hasilkan tidak pernah membantu negara ke arah ketamadunan. Ambil saja mana-mana tamadun yang unggul di dunia ini, sudah pasti jika diselidik ia terbina atas dasar ilmu pengetahuan.

Kata Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, "Ilmu sebagai prasyarat penting bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati."

Karya sastera hari ini bukanlah wadah menampung idea penulis. Ini jelas apabila idea yang dimasukkan dalam karya kreatif bukan idea yang melalui proses analisis yang mantap, sebaliknya hanya maklumat yang dimasukkan secara mentah.

Karya ini pula dilonggokkan dengan bermacam-macam maklumat agar kelihatan berilmu. Penulisan sebegini bukanlah daripada daripada seorang yang intelektual, kerana sesiapa saja boleh memasukkan maklumat tanpa sebarang penganalisian.

Dalam konteks sebegini tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penulisan sebegini menyerlahkan 'kehampaan keintelektualan penulis.'

Dunia sastera hari ini sudah dibanjiri dengan karya yang tidak mampu menajamkan akal dan mencerdikkan pembaca.

Sebaliknya, karya sastera terus menjadi medan memperagakan kekuatan dalam berkhayal dan berimaginasi dan bukan lagi medan mencurah segala idea yang diasaskan kepada kekuatan akal dalam menyampaikan pemikiran.

Tulisan ini bukan berniat merendah-rendahkan kemampuan penulis atau memperlekeh usaha mereka, tetapi ingin menyedarkan pengarang terutama penulis muda agar kembali kepada tradisi persuratan Islam.

Hanya kembali kepada tradisi persuratan, dunia sastera akan kembali bersinar menerangi jalan menuju ke arah negara yang bertamadun.

Perkara ini sangat penting untuk disedari dan menuntut perubahan supaya penulis muda tidak terus-menerus memandulkan dunia kesusasteraan dengan karya yang cetek dari segi keintelektualan.

42 dibaca
Berita Harian X