Ahad, 27 Disember 2015 | 12:17am

Jambatan perpaduan UMNO, PAS

SUDAH banyak kali usaha, cadangan atau inisiatif bagi membina sebuah 'jambatan perpaduan' antara UMNO dan PAS dilakukan tetapi entah mengapa, segala-galanya hanya tinggal harapan dan tidak kesampaian. Ia ibarat rombongan datang merisik dan meminang si perawan, tetapi ia berakhir sebelum sempat rundingan antara pihak lelaki dan perempuan berjalan.

Kali ini, di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Hadi Awang selaku Presiden PAS, projek membina 'jambatan perpaduan' dua parti utama mewakili Melayu Islam di Malaysia disuarakan sekali lagi. Masa depan dan harapan kejayaan 'projek mega' ini amat bergantung kepada kesediaan kedua-dua parti untuk bekerjasama serta melupakan sengketa lama.

Wartawan BH Ahad, Mohd Anwar Patho Rohman dan Azman Mahmood mendapatkan pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulas inisiatif mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara UMNO dan PAS serta signifikannya kepada masa depan politik tanah air yang berkait rapat dengan masa depan Melayu Islam di negara ini.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Saifullizan Tamadi.

S: Isu perpaduan UMNO-PAS menjelma kembali dalam pentas politik Malaysia apabila Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 menemukan Presiden UMNO dan Presiden PAS di atas pentas yang sama dan senada membicarakan soal perpaduan ummah. Apa komen Datuk?

J: Pertama kali saya melihat ini adalah satu manifestasi keresahan dalam kalangan umat Islam perlunya dua parti politik terbesar mewakili orang Melayu Islam untuk duduk semeja dan bermuzakarah bagi membincangkan hala tuju umat Islam di negara ini, khusus dalam aspek perpaduan dan kesatuan. Tidak ada perbezaan ketara antara UMNO dan PAS. Kalau ikut sejarah pun PAS lahir dari 'rahim' UMNO. Yang berbeza hanya dari segi pendekatan politik, bukan akidah, mazhab atau pegangan ideologi agama. Kedua-duanya berkongsi matlamat sama kalau dilihat dalam konteks itu. Perlembagaan dua parti ini juga secara terang menjelaskan matlamat UMNO dan PAS adalah memartabat dan mendaulatkan Islam. Cuma berbeza pendekatan. PAS lebih agresif mahu negara Islam dijelmakan secara drastik dan total. UMNO pula lebih kepada memahami tabii manusiawi dan realiti masyarakat kita yang bukan semua beragama Islam. Kita masyarakat rencam berbilang bangsa dan agama. Islam perlu dikembang secara organik dan berevolusi. Ia menepati prinsip Islam yang tidak bersifat revolusi tetapi evolusi.

S: Maknanya tidak patut timbul isu kerana asasnya sudah ada, hanya pendekatan berbeza?

J: Sebab itu pentingnya (perpaduan) kerana keresahan itu berakar umbi kepada realiti umat Islam di Malaysia hari ini, apabila kuasa politik Islam berkecamuk. PAS dan UMNO berpecah sudah berpuluh tahun dan menyebabkan kuasa politik Melayu Islam lemah. Ini menimbulkan keresahan kerana melihat ancaman terhadap Islam dan umatnya semakin menjadi-jadi. Ancaman ideologi itu ada bersifat radikal, membawa imej Islam terpesong dari ajaran sebenar atau bersifat liberal, melonggarkan agama. Ancaman ideologi songsang yang tercabut daripada asas Islam sebenar. Apatah lagi suara sumbang daripada mereka yang mempertikai kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peruntukan undang-undang, institusi dan perkembangan syiar serta syariat Islam. Ini semula sudah mula kedengaran dan ia berpunca daripada kelemahan umat Islam yang berterusan berbalah hatta dalam perkara kecil. Kita dilihat tidak mampu bersatu dalam isu yang menyentuh Islam termasuk dalam isu kalimah Allah. Atas dasar itu, wujud desakan dan tekanan dalam kalangan rakyat yang tidak berparti berharap dua parti besar Melayu Islam duduk semeja berbincang soal asas perpaduan umat Islam di Malaysia. Kita pernah semeja dalam isu Palestin 17 tahun lalu tetapi ia merujuk kepada politik luar. Mengapa kali ini tidak duduk semeja bincang soal kedudukan politik dalaman kita.

S: Usaha untuk mewujudkan perpaduan antara UMNO dan PAS atas prinsip perpaduan ummah sudah banyak kali dilakukan namun sehingga kini ia dilihat seperti satu misi mustahil yang sukar menjadi kenyataan. Adakah Datuk bersetuju dengan pendapat ini?

J: Kita perlu faham, isu perpaduan dan kesatuan umat Islam adalah ujian besar serta menjadi cabaran utama di seluruh dunia. Ia tidak mustahil (berlaku) jika wujud keikhlasan dan ketulusan dalam kalangan pemimpin parti politik untuk meletakkan kepentingan Islam dan umatnya lebih utama daripada kepentingan politik kuasa masing-masing. Bila cakap soal perpaduan ini, kita sentiasa diseret kepada satu perbincangan yang bersifat kepentingan jangka pendek seperti untuk menang pilihan raya. Kalau perbincangan berlegar kepentingan jangka pendek, ia tidak kekal lama. Ia perlu bersandarkan kepada perpaduan bersifat asas seperti kepentingan agama, bangsa kita kerana bersifat jangka panjang dan berterusan. Ini yang penting difahami dalam konteks kerangka permuafakatan dan perpaduan supaya kita tidak membicarakan soal jangka pendek yang akhirnya kita akan rasa kecewa apabila masing-masing tertumpu kepada soal kepentingan kuasa.

S: Setiap kali UMNO mencetuskan idea mewujudkan hubungan dan perpaduan dengan PAS, pasti ada pihak tidak senang hati atau curiga termasuk dalam kelompok ahli parti sendiri. Apakah yang patut dilakukan kedua-dua parti untuk menangani permasalahan ini?

J: Kalau betul-betul ikhlas, kita tidak perlu selongkar dan bongkar kesalahan lampau yang pernah dilakukan pemimpin terdahulu oleh mana-mana parti. Tidak perlu diungkit lagi kerana ia tidak akan memberi manfaat kepada perbincangan soal perpaduan ini. Yang penting pemimpin perlu berjiwa besar, menjadi contoh teladan kepada pemimpin di bawah. Jika gagal, kita tidak mungkin dapat membawa aspirasi ini ke peringkat bawah. Soal orang tidak senang dengan usaha perpaduan ini, hanya mereka yang berkepentingan dan mempunyai niat jahat atau negatif ini sahaja akan lebih terasa terancam.

Dalam konteks realiti Malaysia, kesatuan dan perpaduan umat Islam tidak harus dibimbangi mana-mana pihak termasuk bukan Islam. Bahkan mereka patut menjadi pendukung utama kepada gerakan ini kerana dalam konteks negara Malaysia, asas kestabilan dan keharmonian sepanjang 69 tahun merdeka ditunjangi umat Melayu Islam yang menjadi majoriti dan politiknya kuat. Kalau politiknya longgar atau berlaku masalah, ia akan memberi kesan kepada kestabilan dan keharmonian negara. Ia dijelmakan menerusi parti terbesarnya, UMNO. Kalau UMNO diperkuatkan lagi oleh parti lain khasnya PAS, saya fikir ia akan menguatkan lagi struktur kestabilan dan perpaduan negara.

S: Baru-baru ini ada pemimpin PAS kata jika mahu berpadu dengan UMNO, mereka perlu keluar parti. Apa pendapat Datuk dalam hal ini?

J: Ini lebih kepada kenyataan politik. Kita tidak pernah ada perbincangan khusus bincang mekanisme permuafakatan ini. Bagi saya, yang penting duduk bincang dahulu dan bermuzakarah. Bila bercakap soal perpaduan dan kesatuan, jangan fahami dalam konteks mana-mana parti harus dileburkan identiti dan struktur partinya. Paling penting dalam perbezaan pendapat dalam Islam ini, bersetuju untuk tidak bersetuju dan hormati 'adabul ikhtilaf' (adab dalam berbeza pendapat). Ini bukan perkara baharu. Fahami prinsip ini. Paling penting kita raikan kekuatan masing-masing dan hormati kelemahan serta perbezaan yang ada. Yang penting kita menyatukan kekuatan ini dan bertolak ansur dalam kelemahan dan perbezaan.

S: Ada pemimpin PAS bertegas tidak mahu perpaduan dengan UMNO menjadi seperti 'perpaduan penyamun'. Konotasinya amat negatif. Apa perlu dilakukan kedua-dua parti ini?

J: Sekarang, apa juga istilah dan label yang diucapkan tidak akan membantu. Kalau cakap soal negatif, UMNO akan ungkit kesalahan PAS. PAS juga akan buat begitu. Seharusnya kita terima sistem demokrasi berpolitik ini seadanya dan jangan melampau batas. Berparti tidak ada masalah tapi bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada Islam dan kepentingan agama terpelihara.

S: UMNO sering dilabel mempunyai agenda tersirat atau 'ada udang di sebalik batu' apabila menghulurkan salam silaturahim kepada PAS. Bagaimana UMNO sepatutnya memperbetulkan persepsi dan prejudis ini?

J: Pertama kita harus ingat bahawa kalau kita ambil semangat ayat ke-12 dalam Surah al-Hujurat yang memberikan garis panduan prinsip penting umat Islam itu bersaudara dan jangan ada prasangka sesama Islam. Disebut dalam surah ini, prasangka itu dosa dan ia adalah prinsip penting untuk memupuk persaudaraan Islam. Kalau terus berprasangka, inilah antara perkara membuka ruang elemen negatif menghasut umat Islam sentiasa berpecah. Akan tetapi hakikat jelas UMNO adalah parti tunjang Melayu Islam, mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 88 kerusi, sudah tentu lebih berjiwa besar jika UMNO terlebih dulu hulurkan tangan, secara logiknya. Mana mungkin parti kerdil seperti PAS yang ada 14 kerusi Parlimen hulurkan tangan. Ini perkara normal bagi parti besar mewakili kelompok Melayu terbesar, menghulurkan silaturahim. Kalau nak dikata PAS hulurkan tangan dulu, logiklah PAS 'ada udang di sebalik batu'.

S: Hukum hudud dilihat sebagai batu penghalang utama mengapa usaha mewujudkan perpaduan UMNO dan PAS sering menemui kegagalan. Benarkah tanggapan ini? Bagaimana hal ini boleh diatasi?

J: Pertama, kita kena ingat, UMNO atau PAS mewakili umat Islam dan mendukung Islam, sudah tentu tidak boleh tolak hudud sebagai hukum Allah. UMNO juga pada tahun lalu menyatakan pendirian sebagai sebuah parti, tidak pernah menolak hudud sebagai hukum Allah. Kita kena faham dalam konteks yang mana kedudukan hudud dalam pelaksanaan syariat secara keseluruhan. Islam bukan setakat hudud sahaja, terbahagi tiga asas penting, akidah, akhlak dan syariah. Saya sebutkan ini supaya kita nampak, hudud adalah salah satu juzuk daripada hukum jenayah syariah, ia satu juzuk hukum pentadbiran Islam, yang mana ia satu juzuk hukum Islam yang lebih besar. Kalau hendak bercakap soal objektif, adakah selama 69 tahun perkembangan Islam di negara ini semakin menurun atau meningkat. Kalau kita lihat apa yang kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) laksanakan untuk membangunkan Islam, cukup banyak. Kita menyediakan prasarana untuk umat Islam, bina masjid dan segala-galanya untuk memudahkan beribadah. Kita ada Tabung Haji, institusi terkemuka menguruskan haji. Ini tidak termasuk soal hukum syariah, berkaitan ekonomi, perbankan islam, soal pentadbiran Islam.

Dalam konteks hudud, kita sudah memulakan satu inisiatif apabila kerajaan Pusat dan negeri menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi membincangkan pelan induk pelaksanaan hudud di Malaysia dalam kerangka memahami bahawa negara ini berbilang bangsa, kaum dan agama. Perlembagaan kita mengehadkan kuasa membabitkan negeri dan Persekutuan. Kita perlu perlihatkan Islam tidak bersifat revolusi. Kita perlu memahami matlamat hukum hudud iaitu mewujudkan keadilan. Ini lebih diutamakan. Kita siapkan prasarana supaya semua menerima hukum ini dengan faham. Cuma bezanya pendekatan. PAS mungkin hendak masuk 'gear lima' terus tetapi UMNO 'masuk gear satu' tengok perkembangannya sebelum tolak 'ke gear dua'. Tapi UMNO tidak tolak hudud cuma kita fikir ada aspek perlu dipersiapkan terlebih dahulu. Kita kena buang sentimen politik.

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah


TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa

S: Sejauh mana Datuk melihat usaha ke arah kerjasama dan perpaduan yang boleh dibina antara PAS dan UMNO bagi kebaikan kepada seluruh seluruh rakyat di negara kini?

J: Sebagai parti yang memperjuangkan dasar Islam, PAS tidak pernah mengenepikan soal untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dan parti politik jika ia untuk kepentingan Islam, masyarakat dan pembangunan negara yang selari dengan tuntutan syariat Islam sebenar. Sebenarnya, pendirian PAS dalam hal seperti itu sudah wujud sejak sekian lama dan ia bukan perkara baharu dalam pendekatan politik PAS. Saya ingin tegaskan di sini PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa, bukan dengan UMNO sahaja, jika ia untuk kepentingan Islam dan perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat kepada seluruh lapisan rakyat kerana PAS sentiasa bersikap terbuka.

S: Apakah kerjasama ini boleh menjadi permulaan kepada kerjasama politik antara PAS dan UMNO?

J: Isu utama sekarang ialah kerjasama secara umum seperti yang dinyatakan dan ia tidak ada kaitan dengan kerjasama politik. Cuma dalam perkembangan kebelakangan ini seperti hubungan semakin baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mungkin menyebabkan banyak pihak membuat spekulasi akan berlaku kerjasama sehingga ke peringkat kerjasama politik. Setakat ini, perkara untuk kerjasama politik atau bergabung dengan UMNO tidak pernah dibincang oleh pucuk kepemimpinan parti, malah tidak mungkin akan terjadi. Perkara itu adalah 'out of the question'. Ini kerana tidak ada keperluan bagi PAS untuk bergabung atau kerjasama politik dengan UMNO. Perkara itu tidak berbangkit sama sekali. Tetapi, kita sentiasa mengalu-alukan jika UMNO menghulurkan untuk bekerjasama dalam isu yang menyentuh kepentingan Islam, kepentingan masyarakat dan kepentingan negara dan ini pendirian PAS sejak dahulu lagi, bukan baharu hari ini.

S: Kenapa tidak timbul PAS akan bekerjasama dari segi politik atau bergabung dengan UMNO?

J: Semua orang tahu PAS sebelum ini pernah bersama UMNO sebagai satu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN). Sepanjang tempoh itu PAS melalui banyak pengalaman sehingga kita merasai pengalaman pahit yang sukar dilupakan. Jadi tidak mungkin PAS akan 'digigit' untuk kali kedua.

S: Apakah PAS tidak boleh mengambil pendekatan memaafkan di atas pengalaman yang dikatakan pahit ketika bersama UMNO sebelum ini?

J: Memaafkan adalah isu lain. Itu isu berbeza tapi untuk PAS menyertai BN itu memang tak ada dalam fikiran kita. Pendekatan yang diambil PAS sekarang yang sedia bekerjasama dengan UMNO bukan kerjasama politik dan jauh sekali untuk bergabung. Allahyarham Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dulu pun bersikap terbuka dalam mengadakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat dalam perkara yang menyentuh kepentingan Islam. Jadi, tak ada beza kerjasama yang dijalankan oleh pucuk pimpinan PAS sekarang. Yang Tok Guru (Nik Aziz) menentang dahulu kalau kita nak masuk UMNO dan bergabung dalam BN. Perkara itu juga tidak ada dalam perancangan dan fikiran pucuk pimpinan sekarang.

S: Apakah contoh kerjasama PAS dengan UMNO dan kepemimpinan kerajaan BN yang membabitkan kepentingan umum dan untuk kepentingan Islam yang sudah lama dilakukan?

J: Jika nak diperkatakan ia banyak berlaku. Ketika Allahyarham bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, pernah duduk satu pentas dengan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperjuangkan isu nasib rakyat Palestin yang sentiasa menjadi mangsa kekejaman rejim zionis Israel. Dalam isu pembangunan untuk kepentingan rakyat Kelantan, Tok Guru Nik Aziz pernah bersama dengan Tun Dr Mahathir dalam perasmian Jambatan Tendong, bersama bekas Perdana Menteri juga bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di samping turut bersama dengan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak di majlis perasmian Kompleks Pemasaran Setempat, Taman Industri Automotif Pekan di Pekan, Pahang, pada tahun 2011. Jadi, apa yang ingin saya katakan kerjasama dalam perkara yang membabitkan kepentingan umum tetapi tidak membabitkan kerjasama politik antara PAS dan UMNO sudah lama berlaku dan ia bukan perkara baharu bagi pimpinan politik PAS.

S: Selepas Najib hadir merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia, ramai pemerhati melihat seperti akan berlaku kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

J: Itulah masalah media bukan masalah kami. Media yang suka melihat dari sudut yang tidak tepat. Pendirian kita jelas tidak akan berlaku kerjasama politik atau bergabung bersama UMNO.

S: Apakah pucuk kepemimpinan PAS menerima hubungan baik Abdul Hadi dengan Najib sekarang dan bagaimana PAS menilai Presiden UMNO itu menghulurkan tali silaturahim untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam dan turut rasa gembira kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

J: Hubungan baik yang terjalin antara UMNO dan PAS, sudah mendapat restu daripada pucuk kepemimpinan PAS Pusat, dan bukannya pendirian berseorangan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Hubungan yang terjalin itu atas dasar untuk kepentingan Islam dan bukannya kerjasama politik. Pucuk kepemimpinan PAS bersetuju hubungan baik diadakan dan kerjasama dengan UMNO khusus dalam perkara yang membabitkan kepentingan Islam dan rakyat. Hubungan baik Abdul Hadi dengan Najib juga sudah dibincang di peringkat PAS Pusat dan lajnah politik (PAS) dan ia bukan keputusan Presiden (Abdul Hadi) seorang, ia adalah keputusan parti. Usaha Perdana Menteri menghulur tali silaturahim untuk mengajak PAS sama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya amat baik dan dialu-alukan dan kita setuju serta boleh bekerjasama dalam memartabatkan Islam. Tetapi, Najib perlu tunjuk kesungguhan dalam hal ini dan sebagai contohnya dia kena bagi laluan kepada Kelantan untuk membuat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) mengikut Akta 355 Kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan Perkara 76a (1) Perlembagaan Persekutuan dan isu royalti minyak dengan menunjuk kesediaannya untuk menghormati perjanjian itu. Ini semua perkara yang perlu dibuat sebab Perdana Menteri ada kuasa, kita ni tak ada kuasa.

Berita Harian X