Jumaat, 10 Oktober 2014 | 10:22pm
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak membawa beg berisi buku Bajet 2015 ketika meninggalkan perkarangan Bangunan Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan untuk ke Parlimen bagi membentangkan laporan Bajet 2015 di sini hari ini. Turut sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pusat Percetakan Al-Quran mercu tanda baharu syiar Islam di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pusat Percetakan Al-Quran yang bakal dibina di Putrajaya bakal menjadi mercu tanda baharu kepada Malaysia sebagai negara Islam yang menyebarluaskan syiar Islam di dunia.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata dengan terbinanya pusat itu, ia dapat membuka 'pintu' kepada lebih banyak jalinan kerjasama dengan negara Islam lain sebagai sumber rujukan dalam percetakan al-Quran.

"Aspek keagamaan tidak dilupakan kerajaan kerana selain pendidikan Islam, bantuan kepada sekolah pondok, kini negara bakal menerima sebuah lagi pusat yang besar manfaatnya untuk menyebarluaskan lagi peranannya kepada masyarakat Islam," katanya kepada BERNAMA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan akan membina sebuah Pusat Percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi, di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Najib berkata, bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pusat itu yang dijangka dapat mencetak sehingga sejuta naskhah al-Quran setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata dengan penubuhan pusat itu, Malaysia tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat percetakan al-Quran di Arab Saudi.

"Langkah membina pusat itu akan membangunkan ekonomi negara selain dapat menjadi tarikan kepada lebih ramai masyarakat Islam di dunia luar untuk mendalami ilmu agama di Malaysia," katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir pula berpendapat langkah kerajaan mewujudkan pusat itu wajar dipuji namun berharap kerajaan turut memberi penekanan dalam meningkatkan kefahaman al-Quran.

"Soalnya bagaimana untuk kita memanfaatkan pusat itu, bukan sekadar ianya pusat untuk mencetak semata-mata namun ia juga seharusnya berperanan melatih dan mendidik masyarakat Islam membaca dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X