Ahad, 27 Disember 2015 | 10:04pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis menaiki kereta kuda ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas 2015 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Sambutan Krismas rai kepelbagaian agama

MELAKA: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 adalah lambang keterbukaan kerajaan dalam merai kepelbagaian agama di negara ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, sambutan acara yang diraikan masyarakat pelbagai kaum, bangsa dan agama itu adalah bukti keharmonian di negara ini.

"Acara ini menambahkan lagi keunikan Malaysia, seterusnya memperkukuh semangat kekitaan, muhibah dan kemesraan dalam kalangan masyarakat.

"Walaupun masyarakat Kristian tidak seramai masyarakat beragama lain, perayaan ini tetap disambut secara besar-besaran serta dirai penganut agama lain tanpa sikap prajudis dan prasangka," katanya berucap pada majlis itu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, sebentar tadi.

Acara makan malam yang dihadiri kira-kira 20,000 masyarakat pelbagai kaum itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Sementara itu, Nazri berkata, amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan kaum serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan perlu diteruskan bagi mengekalkan identiti sebenar masyarakat Malaysia.

Katanya, penganjuran majlis rumah terbuka untuk semua perayaan utama berjaya menyemarakkan lagi industri pelancongan negara.

Berita Harian X