Isnin, 28 Disember 2015 | 12:21am

Hina celoreng askar


KUALA LUMPUR: Fabrik bercorak celoreng rasmi pasukan keselamatan Malaysia didapati dijual secara terbuka di beberapa premis di ibu kota, sekali gus membolehkan pengeluar pakaian terus rancak mempromosikan pelbagai fesyen 'ala tentera'.

Malah, hasil tinjauan wartawan BH di premis sekitar Jalan Kenanga itu mendapati, bukan sahaja fabrik bercorak celoreng tentera dalam pelbagai edisi, turut dijual celoreng rasmi bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa pasukan keselamatan lain.

Corak celoreng yang dijual itu, bukan disorok tetapi menjadi satu tarikan utama di situ yang dengan sengaja dipamerkan di pintu masuk kedai dengan harga sekitar RM10 hingga RM12 semeter, tertakluk kepada jumlah belian.


FABRIK bercorak celoreng rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijual secara terbuka di beberapa premis di ibu kota. - Foto NSTP

Hasil tinjauan juga mendapati hampir semua kedai yang menjual 'kain ela' ada menawarkan fabrik bercorak celoreng yang secara terang-terangan dicetak 'RMAF Digital Camouflage' sebagai pengesahan yang ia adalah corak rasmi celoreng tentera Malaysia.

Mengikut pemilik kedai itu, kain corak celoreng itu antara produk paling laris serta sering dibeli ramai pengeluar fesyen yang mengeluarkan pelbagai jenis pakaian seperti seluar pendek dan pakaian sukan.

Apabila ditanya, tidakkah menjadi satu kesalahan membuat pakaian dengan corak celoreng itu, dia berkata tiada tindakan boleh diambil jika sekadar membuat sebahagian pakaian asalkan tidak sama dengan pakaian seragam tentera.

"Tentera tak kacau. Janganlah buat satu 'uniform' sama dengan tentera. Buat seluar pendek, skirt atau sedikit corak celoreng di baju tak ada masalah. Kami jual di sini pun tidak pernah kena kacau.


FABRIK celoreng tentera dijual dengan harga antara RM10 hingga RM12 semeter. - Foto NSTP

"Hari-hari ada orang datang beli. Kadang-kadang stok habis sebab ada yang ambil banyak. Tapi tak ada masalah. Kalau mahu, telefon saja dan esok saya boleh dapat stok baru. Kilang ada banyak keluarkan kain ini," katanya ketika ditanya wartawan BH.

Ia nyata menimbulkan satu persoalan bagaimana corak yang sepatutnya eksklusif untuk pasukan keselamatan boleh dibiarkan dijual secara terbuka dan dijadikan fesyen secara sembarangan, sekali gus mencemarkan imej mereka.

Di laman sosial, penjualan fesyen berasaskan corak celoreng pula didapati semakin rancak dipromosikan seperti seluar pendek, skirt dan seluar sukan.

Dalam carian di satu laman jual beli secara atas talian, banyak seluar pendek dijual yang menggunakan corak celoreng rasmi tentera sama ada edisi digital yang terbaru dan edisi sebelumnya.


FESYEN berasaskan corak celoreng tentera semakin popular apabila dijadikan seluar pendek, skirt dan seluar sukan. - Foto NSTP

Akhbar ini dalam satu pendedahan pada tahun lalu pernah membongkarkan betapa mudahnya untuk orang awam membeli jaket dan aksesori pasukan keselamatan yang dijual di gedung beli-belah sekitar ibu kota.

Wartawan turut berjaya membeli aksesori rasmi polis seperti vest berharga RM80 dan jaket berharga RM270, logo (RM20) dan topi polis lengkap dengan lambang (RM35) tanpa perlu menunjukkan kad kuasa.

Cemar imej tentera

PENGGUNAAN corak celoreng rasmi sebagai pakaian orang awam boleh mencemarkan imej pasukan keselamatan yang menjadi perlambangan kebanggaan mereka.

Perunding imej, Siti Mizalwa Idris, berkata meskipun penggunaan celoreng sudah menjadi satu trend dan digemari ramai, kawalan perlu dilakukan bagi memastikan corak rasmi tidak digunakan orang awam.


PELBAGAI pilihan corak celoreng tentera dijual secara terbuka. - Foto NSTP

Ini kerana, katanya, sesuatu pakaian dan corak itu melambangkan imej individu tertentu dan tidak wajar digunakan pihak tidak sepatutnya.

"Namun, tidak dinafikan ramai orang suka guna corak celoreng kerana ia melambangkan karakter yang lasak dan amat gemar digunakan bagi menyuntik semangat pemakainya.

"Ia bukan pakaian bermusim kerana corak ini sudah ada di mana-mana. Dalam latihan senaman juga, ramai gemar menggunakannya termasuk wanita.

"Saya tak lihat masalah di situ sekiranya mereka guna celoreng yang tak ada kaitan dengan mana-mana pasukan keselamatan. Masalahnya sudah ramai yang guna pakaian sukan dengan corak dan fabrik sama dengan tentera," katanya sambil menunjukkan beberapa kain yang sama coraknya dengan pasukan seragam Malaysia.

Mizalwa berkata, adalah menjadi kurang sopan dan tidak menghormati profesion tentera jika celoreng yang menyamai tentera direka untuk pakaian dalam, skirt dan pakaian ketat serta seksi.


FESYEN bercorak celoreng boleh mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila digunakan bukan pada tempatnya. - Foto NSTP

"Celoreng tentera itu sendiri eksklusif dan tidak sepatutnya dipakai sewenang-wenangnya oleh semua orang. Biar mereka yang layak (tentera) sahaja memakainya.

"Jika dipakai oleh orang yang salah, bimbang akan terjadi perkara tidak diingini," katanya yang turut berpendapat perlu ada penguatkuasaan di premis menjual kain menyamai celoreng askar yang sebenar.

Katanya, tidak salah untuk berfesyen celoreng tetapi janganlah sama seperti dipakai angkatan tentera.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Faizal Hamid, berkata tiada akta khusus yang melarang pemakaian selain uniform tidak dipaten menyebabkan orang ramai boleh menjadikan celoreng tentera sebagai pakaian.

"Tidak menjadi satu kesalahan untuk orang ramai memilih celoreng tentera selagi tidak memakai seragam penuh menyamai tentera, kerana tiada undang-undang yang melarangnya.


PENIAGA menunjukkan fabrik bercorak celoreng rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Foto NSTP

"Saya difahamkan, negara di kepulauan Caribbean ada undang-undang yang melarang masyarakatnya serta pelancong daripada memakai pakaian, topi dan beg yang menggunakan celoreng," katanya.

Faizal berkata, dalam aspek fesyen, celoreng tentera mula digunakan pada zaman 60-an sebagai tanda protes anti peperangan dan politik selain sebagai tanda sokongan kepada kerajaan serta menaikkan semangat mereka yang memakainya.

"Itu zaman dahulu, sekarang penggemar fesyen memilih celoreng tentera kerana ada elemen maskulin dan nampak lebih 'cool' serta gagah bila memakainya," katanya yang turut berpendapat perlu ada undang-undang dan penjelasan khusus jika menjadi kesalahan memakai pakaian celoreng tentera.

Berita Harian X