Isnin, 28 Disember 2015 | 2:12pm
PELAKON, Erma Fatima pada Sidang Media Teater Zombie La La La yang diadakan di Istana Budaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mak Cun terbang ke Amsterdam, Berlin

KUALA LUMPUR: Fenomena drama bersiri yang diangkat ke pentas teater, Mak Cun membuatkan pengasas dan teraju utamanya, Erma Fatimah tidak duduk diam.

Mengaku nama Mak Cun lebih dikenali sekarang berbanding dirinya, Erma bersyukur karyanya dijulang tinggi hingga memberi kesan kepada semua pelakon dan kru produksi.

"Ke mana-mana saya pergi, orang memanggil saya dengan nama Mak Cun. Sudah jarang saya mendengar nama Erma meniti di bibir orang kerana mereka lebih selesa dengan gelaran itu.

"Namun, saya berbangga kerana karakter itu memberi impak dan masih segar di benak orang ramai biarpun teater muzikal Mak Cun sudah melabuhkan tirai. Mungkin juga watak Mak Cun itu dilihat sinonim dengan diri saya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi kisah terbaharu, Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, 47, memberitahu dia akan memulakan penggambaran musim kedua drama bersiri Mak Cun mulai bulan depan.

Khabarnya, beberapa nama seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, Ungku Ismail dan Dafi sudah disenaraikan untuk terbabit dalam projek itu.

Paling mengujakan, pasukan produksi akan terbang ke Amsterdam dan Berlin selama dua minggu untuk melakukan penggambaran.

"Kami akan mengambil bahagian dalam Festival Makanan Malaysia dan mempromosikan produk tempatan ke peringkat antarabangsa. Penggambaran Mak Cun akan merangkumi pengalaman sepanjang berada di lokasi terbabit.

"Misi utama saya adalah untuk mengetengahkan produk tempatan dan membakar semangat usahawan desa menanam impian berjaya. Saya ingin membuktikan produk keluaran mereka mampu dipasarkan ke peringkat lebih jauh lagi," kata Erma.

Berita Harian X