Selasa, 29 Disember 2015 | 12:01am

'The Force Awakens' dinobat filem Penghibur Tahun Ini

PENGHUJUNG tahun 2015 hampir pasti menjadi milik filem terbaru Star Wars apabila ia berada di landasan untuk mencipta rekod, memperoleh kutipan AS$1 bilion (RM4.29 bilion) dalam tempoh 12 hari.

Jika ramalan majalah Forbes itu menjadi kenyataan, siri ketujuh filem berkenaan, Star Wars: 'The Force Awakens', bakal mengatasi kutipan filem Jurassic World awal tahun ini, yang mencecah jumlah itu dalam masa 13 hari.

Setakat ini, Star Wars sudah pun melepasi kutipan filem lain pada minggu pertama tayangan dengan kutipan sudah mencecah AS$528 (RM2.2 bilion).

Ia juga dipilih sebagai filem 'Penghibur Tahun Ini' oleh The Associated Press dan mendapat sokongan ramai untuk dipertimbangkan menerima Anugerah Academy.

Ditayangkan buat kali pertama hampir 40 tahun lalu, kegilaan orang ramai terhadap filem sains fiksyen mengenai peperangan di galaksi itu tidak pernah padam, sebaliknya semakin menyala.

Siapa mampu menidakkan aura dibawakan Princess Leia, Hans Solo, Luke Skywalker, Yoda, malah si penjahat, Darth Vader?

Atau si cilik robot R2-D2 atau C3PO yang lucu itu? Lantas filem Star Wars adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan untuk ditonton.

Apatah lagi siri terbaharu itu turut 'menjemput' kembali pelakon asal yang memberi nafas kepada Star Wars iaitu Harrison Ford, Carrie Fisher dan Mark Hamill, selain memberi peluang kepada muka baharu seperti John Boyega dan Daisy Ridley untuk mencatat nama dalam sejarah perfileman.

STAR Wars sudah pun melepasi kutipan filem lain pada minggu pertama tayangan dengan kutipan sudah mencecah AS$528 (RM2.2 bilion).

Pasti generasi terdahulu yang mengikuti filem berkenaan sejak mula diterbitkan tidak mahu ketinggalan menyaksikan kesinambungan francais itu.

Dengan ulasan membina yang diberi, pengkritik juga nyata 'jatuh cinta' dengan siri terbaru arahan J J Abrams itu.

'The Force Awakens' adalah filem pertama dalam sekuel trilogi Star Wars diumumkan selepas pengambilalihan Lucasfilm oleh Disney pada Oktober 2012.

Filem itu dikeluarkan Presiden Lucasfilm Kathleen Kennedy, Abrams dan rakan usahasama sekian lamanya, Bryan Burk.

Abrams dan Lawrence Kasdan, penulis bersama filem trilogi asal, The Empire Strikes Back (1980) dan Return of the Jedi, menulis semula skrip asal oleh Michael Arndt.

John Williams, komposer untuk enam filem sebelumnya, kembali untuk menggubah susun atur muzik.

Pencipta Star Wars, George Lucas berkhidmat sebagai perunding kreatif ketika peringkat awal produksi filem berkenaan.

Penggambaran bermula pada April 2014 di Abu Dhabi dan Iceland dengan latar belakang filem berlangsung di Ireland dan Pinewood Studios di England.

ANTARA sedutan babak filem Star Wars: 'The Force Awakens'.

Sekuel ketujuh itu dibuka untuk tayangan perdana di Los Angeles pada 14 Disember lalu dan tayangan rasmi bermula 18 Disember dalam 2D, 3D dan IMAX 3D, 10 tahun selepas francais terakhirnya dikeluarkan, Star Wars Episode III: Revenge of the Sith (2005).

Beberapa akhbar berpengaruh dunia, termasuk Empire, The Independent, The Guardian, Daily Telegraph, Time Out dan USA Today, memberi empat atau lima bintang untuk filem itu.

Pengkritik seolah-olah tidak mampu lagi membendung keghairahan mereka dan memuji Abrams kerana memberi kesegaran kepada siri terbaru itu.

"Jangan bimbang peminat Star Wars, J J Abrams merealisasikan sekual impian anda," kata Robbie Collins dalam ulasan yang disiarkan akhbar Daily Telegraph.

Banyak drama dan keghairahan yang menonjolkan kualiti tulen filem lewat tahun 1970 an itu, kata Collins, namun dengan barisan pelakon baharu, wanita muda dan pelakon kulit hitam yang jelas bukan pewaris kepada Skywalker, menunjukkan kisah itu boleh berubah.

Wira baharu gagah, lucu dan seronok ditonton, kata Collins, sambil memuji pengkisahan filem itu cukup berani dan menarik.

Namun, tidak semua kagum dengan filem paling ditunggu-tunggu itu kerana ada yang berpendapat ia tidak tulen.

Bagaimanapun, ia tidak mampu menghentikan keghairahan peminat Star Wars yang menyifatkan filem itu sebagai amat besar, asli, menyenangkan peminat terdahulu dan kemunculan yang menakjubkan.

Pakar memuji tumpuan filem berkenaan kepada penceritaan bagi kejayaan awalnya.

PELAKON Harrison Ford dan Daisy Ridley.

"Penerbit akhirnya akan diingati, selepas bertahun-tahun terlalu bergantung kepada kesan visual, peminat sebenarnya lebih menyukai jalan cerita," kata penulis dan profesor pengajian filem di Universiti Wesleyan, Jeanine Basinger.

Cara syarikat penerbitan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter juga dipuji.

Pengulas di New York Times, Brooks Barner, menulis: "The Force Awakens tiba ketika Hollywood akhirnya mula memahami dengan lebih baik bagaimana menggunakan media sosial untuk menjadikan minat pengguna kepada satu bentuk kegilaan."

Abrams dikatakan menawarkan peminat Star Wars sesuatu yang gagal dilakukan pengarah George Lucas dalam siri prekuel sebelum ini iaitu aksi yang kelihatan cukup asli.

Beliau berjaya menggabungkan kesan khas, CGI dengan cara tempatan seperti membuatkan pelakon memakai sut dan menggunakan robot.

Pertarungan menggunakan lightsaber (pedang berlampu) dalam hutan sejuk, pertembungan antara pejuang menjadikan filem berkenaan cukup mengagumkan.

INFO:

1. Pelakon Harrison Ford cuma dibayar AS$10,000 (RM42,000) untuk wataknya dalam Star Wars: Episode IV - A New Hope.

2. Banyak bangunan yang dibina untuk digunakan dalam penggambaran planet Tatooine masih kukuh di Tunisia.

3. Pelakon Mark Hamill mengalami kecederaan teruk pada wajah sebelum penggambaran Star Wars: Episode V - The Empire Strikes Back. Adegan itu menyaksikan Luke Skywalker dicederakan Wampa ditambah kepada parut di mukanya.

4. Watak Yoda pada asalnya akan dilakonkan monyet, yang membawa tongkat dan memakai topeng.

5. Star Wars dikatakan tidak memberi keadilan kepada dua watak utamanya, Carrie Fisher dan Mark Hamill, yang tenggelam berbanding Harrison Ford, yang bergelar pelakon kelas A Hollywood.

Senarai filem Star Wars:

  • Episode IV: A New Hope (1977)
  • Episode V: The Empire Strikes Back (1980)
  • Episode VI: Return of the Jedi (1983)
  • Episode I: The Phantom Menace (1999)
  • Episode II: Attack of the Clones (2002)
  • Episode III: Revenge of the Sith (2005)
  • Episode VII: The Force Awakens (2015)
Berita Harian X