Selasa, 29 Disember 2015 | 12:18am
KAPTEN (B) Mazlan Fauzi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PAKAIAN rasmi pegawai polis mempunyai akta melarang orang awam memakai pakaian seragam penuh. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Akta longgar, celoreng askar terus dihina


KUALA LUMPUR: Akta sedia ada mengenai kesalahan menggunakan pakaian seragam pasukan keselamatan yang sekadar memfokuskan hukuman ke atas individu yang memakai seragam penuh kerana menyamai anggota keselamatan, perlu dikaji semula.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata berdasarkan akta sedia ada, tiada tindakan khusus boleh dikenakan ke atas mereka yang mengambil kesempatan menjual fabrik celoreng secara ela untuk dijadikan pakaian.

"Akta sedia ada perlu diperhalusi dan diperkemaskan dengan menggariskan beberapa kesalahan lain seperti larangan terhadap penjualan kain ela, topi berlogo pasukan keselamatan serta lain-lain aksesori yang menyamainya.

"Malah, perlu juga nyatakan dengan jelas siapa yang berhak, layak menjual dan membelinya," katanya ketika dihubungi BH, semalam.


PENGANALISIS jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim. - Foto NSTP

Shahul berkata, jabatan kerajaan yang mempunyai pakaian seragam seperti kastam, imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat juga perlu mewartakan pakaian rasmi mereka agar tidak menjadi mangsa penjual yang mahu mengaut keuntungan.

"Setahu saya hanya polis dan tentera yang mempunyai akta melarang orang awam memakai pakaian seragam penuh. Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas kelonggaran ini.

"Apatah lagi dengan pelbagai kes membabitkan militan, penjualan uniform tanpa sekatan boleh mengundang pelbagai ancaman," katanya.

Sementara itu, sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, corak celoreng tentera yang belum dipatenkan menyebabkan tindakan penguatkuasaan sukar diambil terhadap penjualan kain atau pemakaian yang tidak melengkapi pakaian seragam.

Berdasarkan semakan akta sedia ada, Seksyen 140 Kanun Keseksaan menyatakan sesiapa yang bukan askar, kelasi atau juruterbang dalam perkhidmatan tentera, memakai pakaian atau membawa apa-apa tanda menyamai seorang askar, dengan niat menyamar askar boleh dihukum tiga bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) pula hanya menggariskan satu kesalahan iaitu mereka yang memiliki secara haram barang kepunyaan askar atau polis boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 atau tidak lebih enam minggu penjara atau kedua-duanya sekali.


KETUA Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah menujukkan pakaian seragam yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Sri Petaling. - Foto Asyraf Hamzah

Sementara mengikut Seksyen 25 akta sama, ia menyebut secara umum iaitu peniruan warna atau lambang yang menyamai seragam tentera atau polis boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM50 atau pakaian yang dipakai dilucut haknya.

Semua keterangan akta ini dilihat begitu longgar dan tidak tegas dalam melindungi hak ekslusif corak celoreng pasukan keselamatan yang semakin dicemari dunia fesyen.

Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) pula menyebut penggunaan atau pemakaian tanpa kuasa yang sah uniform tentera atau polis atau apa yang seumpamanya hingga mampu memperdaya, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, boleh dikenakan.

Mengikut sumber lain di Kementerian Pertahanan, kelonggaran dalam akta ini menyebabkan tindakan sukar diambil kerana penjual kain bercorak celoreng masih boleh melepaskan diri kerana tidak ada klausa mengenai penjualan kain jenis itu dalam mana-mana akta.

"Malah, jika ada yang sekadar guna kain corak celoreng sebagai seluar pendek atau fesyen yang bukan uniform tentera, alasan masih boleh diberikan kerana dia bukan menyamar sebagai tentera seperti apa yang terkandung dalam akta," katanya.

Orang awam tak layak memakai celoreng


FESYEN seluar bercorak celoreng yang dipakai oleh orang awam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PESARA tentera amat kecewa imej tentera tidak dipelihara apabila corak celoreng rasmi digunakan secara berleluasa oleh orang awam.

Kapten (B) Mazlan Fauzi, berkata ia menjatuhkan integriti corak celoreng itu sendiri yang sepatutnya eksklusif untuk pasukan keselamatan.

"Ada wanita berseluar celoreng tentera menghisap rokok di khalayak ramai. Bukankah itu memalukan dan ia tidak sepatutnya dibiarkan," katanya kepada BH, di sini, semalam.

Beliau mengulas fabrik bercorak celoreng rasmi pasukan keselamatan Malaysia yang dijual secara terbuka dan pemakaiannya yang dianggap mencemarkan imej pasukan keselamatan yang menjadi perlambangan kebanggaan mereka.

Mejar (B) Abdul Aziz Abdul Latif, pula berkata penggunaan celoreng tentera oleh orang awam adalah satu tindakan menghina dan perlu diambil tindakan tegas.

"Bukan saja satu penghinaan tetapi juga mengancam keselamatan negara. Mereka boleh menyamar dan bertindak di luar batas undang-undang.


FESYEN pakaian bercorak celoreng yang dipakai oleh orang awam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Ketika saya masih dalam tentera dulu, jika saya nampak ada orang awam pakai seluar celoreng tentera, saya akan terus suruh dia tukar seluar lain," katanya.

Sementara itu, Koperal (B) Ismail Adam, kesal kerana tindakan orang ramai memakai pakaian celoreng dan peniaga yang menjual fabrik itu secara terbuka menunjukkan mereka tidak menghormati pasukan keselamatan negara.

"Saya yang bersara pun tidak memakainya (pakaian celoreng). Rasa tidak layak. Kalau berada dalam perkhidmatan, baru layak memakainya.

"Ini saya tengok pekerja warga asing pun pakai. Tindakan dan penguatkuasaan mesti dilakukan. Kalau tidak, ia boleh menjejaskan imej tentera," katanya.

Ismail berkata, daripada pemerhatiannya, mereka yang memakai kain celoreng tentera tidak mencerminkan identiti dan perwatakan seorang tentera.

"Tidak layak langsung (orang lain memakainya) kerana imej tentera penuh disiplin. Jangan sesekali merosakkan imej tentera dengan memakainya," katanya.

Berita Harian X