Selasa, 29 Disember 2015 | 7:50am
DAIM menunjukkan radio lama yang masih berfungsi. - Foto Abu Bakar Sidek
DAIM menunjukkan radio lama yang masih berfungsi. - Foto Abu Bakar Sidek

Rumah pusaka lebih 100 tahun jadi tarikan

KERATAN akhbar Berita Harian, 18 Mei 2006 menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuruni tangga rumah pusaka Daim Hayati selepas pelancaran Homestay Bagan Datoh. - Foto Abu Bakar Sidek
KERATAN akhbar Berita Harian, 18 Mei 2006 menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuruni tangga rumah pusaka Daim Hayati selepas pelancaran Homestay Bagan Datoh. - Foto Abu Bakar Sidek

BAGAN DATOH: Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang terletak di tepi jalan raya Teluk Intan-Bagan Datoh di Kampung Sungai Haji Mohamad, dekat sini, mendapat perhatian ramai kerana keunikan ciri tradisi Melayu Perak yang masih terpelihara pada reka bentuk binaannya.

Rumah berkenaan yang didiami Daim Hayati Mohammad, 84, dan isterinya, Jamaliah Shafie', 69, dibina oleh Allahyarham Mat Ali Kulop Rabu iaitu datuk kepada Daim Hayati, sebelum diwarisi bapanya, Mohammad Mat Ali.

  Apabila Mohammad meninggal dunia, rumah pusaka dua tingkat itu didiami anak lelaki sulungnya, Allahyarham Mohd Yaakub Aliah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup selama 10 tahun, sebelum Daim Hayati pula mengambilalihnya selepas wakil rakyat itu membina kediamannya sendiri.

Daim Hayati berkata, antara keistimewaan rumah pusaka itu ialah ia dibina mengikut ciri Bumbung Lima, iaitu identiti bagi rumah Melayu Perak, selain ukiran di sekeliling tingkap, pintu dan dinding manakala tangga rumah terletak pada sisi kiri anjung.

Bekas guru agama itu berkata, corak pelangi pada dinding depan rumah menjadi daya tarikan orang ramai dan pelancong yang sering singgah untuk bergambar di depan rumah berkenaan.

DAIM berdiri di depan katil besi pengantin berusia 100 peninggalan datuknya. - Foto Abu Bakar Sidek
DAIM berdiri di depan katil besi pengantin berusia 100 peninggalan datuknya. - Foto Abu Bakar Sidek

"Selain itu, beberapa perabot antik masih terpelihara dengan baik dan boleh diguna pakai, antaranya katil besi berhias dengan bantal bertekad benang emas berusia 100 tahun yang diwarisi daripada datuk.

  "Saya juga mempamerkan senjata warisan Melayu seperti keris, lembing, pedang, golok, parang panjang dan tombak yang menjadi hiasan dinding rumah pusaka ini selain menyimpan gong berusia 100 tahun serta sebuah radio keluaran tahun 1960-an yang masih berfungsi dengan baik," katanya.

  Daim Hayati berkata, rumah pusaka itu juga terpilih antara 30 rumah penduduk untuk inap desa yang bermula pada tahun 2006.

  Rumah itu dipilih sebagai tapak pelancaran program 30 Homestay atau Inap Desa Parlimen Bagan Datoh pada 26 Januari 2006 yang disempurnakan oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

  Najib yang mencatat dalam buku sebagai pelawat pertama rumah berkenaan menulis perkataan `very good' atau sangat baik sebagai menghargai ciri warisan rumah berkenaan.

  Turut hadir ketika pelancaran itu ialah Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

  Daim Hayati berkata, rumahnya sering menjadi tumpuan pelancong luar negara untuk menginap dan merasai sendiri suasana tinggal di rumah Melayu lama, antaranya dari Australia, Arab Saudi, India, Jepun, China, Indonesia dan Singapura.

  "Mereka tertarik dengan keunikan bangunan rumah serta berpeluang melihat secara dekat perabot dan senjata antik yang ada dalam rumah saya," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X