Selasa, 29 Disember 2015 | 11:25am
Mahkamah Majistret Ipoh.

Dua suspek bunuh disambung reman 38 hari


POLIS membawa keluar dua beranak yang terbabit kes pembunuhan kejam empat mangsa di bengkel kenderaan di Jalan Pahang berhampiran Plaza Tol Tapah selepas disambung reman selama 38 hari mengikut Seksyen 4 (1) (a) akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Mahkamah Majistret Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya>

IPOH: Dua beranak yang juga suspek kes pembunuhan kejam membabitkan empat mangsa di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, berhampiran Plaza Tol Tapah, November lalu disambung reman selama 38 hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Reman dilanjutkan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi ini.

Permohonan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar dengan mengemukakan dua kenyataan bertulis daripada polis dan pihaknya, sebelum Majistret Suhaima Mohd Noor membenarkan kedua-duanya direman bermula esok hingga 5 Februari depan.

Mengikut POCA, selepas 21 hari polis boleh meminta melanjutkan tahanan reman selama 38 hari dengan mengemukakan dua kenyataan bertulis, satu daripada polis dan kedua daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Mohamad Suffian ketika membuat permohonan itu berkata, lanjutan reman itu dimohon bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan, selain perbuatan jenayah yang dipercayai dilakukan mereka menimbulkan ketakutan serta kegusaran kepada penduduk setempat.

Terdahulu, dua beranak berusia 57 tahun dan 20 tahun itu dibawa ke mahkamah pada jam 8.45 pagi menaiki kenderaan polis berasingan dan selepas perintah reman diperoleh kedua-duanya dibawa ke lokap Balai Polis Tapah, dekat sini, pada jam 10.50 pagi.

Dua beranak berkenaan dibebaskan di Mahkamah Majistret Tapah 9 Disember lalu selepas tempoh reman tamat, bagaimanapun ditahan semula sebelum direman semula keesokannya mengikut POCA selama 21 hari yang tamat hari ini.

Berita Harian X