Rabu, 30 Disember 2015 | 12:16am
ORANG awam memakai pakaian celoreng 'ala tentera' tidak mencerminkan identiti dan perwatakan seorang tentera. - Foto Sairien Nafis.
FESYEN pakaian celoreng 'ala tentera' yang tidak sesuai dan mencemar imej pasukan keselamatan negara. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PAKAIAN celoreng 'ala tentera' yang mencolok mata, memalukan tentera yang berimejkan disiplin. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PAKAIAN celoreng boleh disalah guna penjenayah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Fabrik celoreng: ATM, polis bertindak

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama dengan polis dalam menangani isu penjualan fabrik celoreng secara terbuka dan pemakaian yang menyamai pakaian tentera.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkata ATM komited untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa ia adalah eksklusif untuk pasukan keselamatan negara.

"Peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 Akta Rahsia Rasmi jelas mencegah mana-mana pihak daripada menyalahgunakan pakaian celoreng atau mana-mana pakaian yang membawa tanda menyamai pakaian seorang tentera.


SELUAR celoreng tentera, fesyen pilihan pengguna di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis.

"Kain celoreng digital ATM telah dipatenkan oleh pembekal bertujuan menjaga hak eksklusif milik ATM. Kita akan bekerjasama dengan polis untuk menangani isu ini," katanya ketika mengulas laporan BH mengenai penjualan secara terbuka fabrik celoreng tentera.

BH sebelum ini melaporkan fabrik bercorak celoreng banyak pasukan keselamatan Malaysia didapati dijual secara terbuka di beberapa premis di ibu kota.

Tinjauan BH di sekitar Jalan Kenanga, di sini juga mendapati bukan sahaja fabrik celoreng tentera dijual, malah celoreng rasmi bomba, polis dan imigresen turut berada di pasaran.

Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai bahaya yang mungkin timbul jika ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kelonggaran penguatkuasaan ini.

Pesara tentera juga ternyata kesal dengan keadaan yang berlaku.

Mereka kecewa imej tentera tidak dipelihara apabila corak celoreng rasmi digunakan secara berleluasa oleh orang awam.


PERLU ada kawalan terhadap pemakaian pakaian celoreng tentera dan pasukan keselamatan dalam kalangan orang awam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kapten (B) Mazlan Fauzi, berkata ia menjatuhkan integriti corak celoreng itu sendiri yang sepatutnya eksklusif untuk pasukan keselamatan.

"Ada wanita berseluar celoreng tentera menghisap rokok di khalayak ramai. Bukankah itu memalukan dan ia tidak sepatutnya dibiarkan," katanya.

Mejar (B) Abdul Aziz Abdul Latif, pula berkata, penggunaan celoreng tentera oleh orang awam adalah satu tindakan menghina dan perlu diambil tindakan tegas.

"Bukan saja satu penghinaan tetapi juga mengancam keselamatan negara. Mereka boleh menyamar dan bertindak di luar batas undang-undang.

"Ketika saya masih dalam tentera dulu, jika saya nampak ada orang awam pakai seluar celoreng tentera, saya akan terus suruh dia tukar seluar lain," katanya.


PELBAGAI jenis seluar 'ala tentera' yang mudah didapati di pasaran. - Foto Sairien Nafis.

Sementara itu, Koperal (B) Ismail Adam, kesal kerana tindakan orang ramai memakai pakaian celoreng dan peniaga yang menjual fabrik itu secara terbuka menunjukkan mereka tidak menghormati pasukan keselamatan negara.

"Saya yang bersara pun tidak memakainya (pakaian celoreng). Rasa tidak layak. Kalau berada dalam perkhidmatan, baru layak memakainya.

"Ini saya tengok pekerja warga asing pun pakai. Tindakan dan penguatkuasaan mesti dilakukan. Kalau tidak, ia boleh menjejaskan imej tentera," katanya.

Ismail berkata, dari pemerhatiannya, mereka yang memakai kain celoreng tentera tidak mencerminkan identiti dan perwatakan seorang tentera.

"Tidak layak langsung (orang lain memakainya) kerana imej tentera penuh disiplin. Jangan sesekali merosakkan imej tentera dengan memakainya," katanya.


FABRIK celoreng tentera turut dijadikan seluar pendek, sekali gus mencemarkan imej tentera. - Foto Sairien Nafis.

Pengamal undang-undang meminta kerajaan segera meminda undang-undang berkaitan penjualan dan pemakaian pakaian seragam pasukan keselamatan bagi mempertahankan integriti pasukan berkenaan.

Langkah proaktif itu boleh mengekang penyalahgunaan pakaian seragam pasukan keselamatan untuk kegiatan penyamaran dan jenayah.

Peguam, Hasnal Rezua Merican, berkata penjualan pakaian mirip anggota pasukan keselamatan memudahkan penjenayah menyamar sebagai polis dan tentera yang dibimbangi melakukan rompakan, pembunuhan dan penculikan.

Katanya, bagi mengelak kejadian tidak diingini itu berlaku, kerajaan perlu bertindak segera mengekang penjualan atau sebarang aktiviti membuat pakaian berkenaan.

"Pelik dan tidak munasabah orang awam memakai uniform pasukan keselamatan. Jika digunakan oleh unit beruniform sekolah itu boleh diterima.


WANITA turut menggemari fesyen pakaian daripada fabrik celoreng tentera di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis.

"Dari segi undang-undang, ia dibimbangi memudahkan penyamaran," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi peguam, Salim Bashir, turut menyokong cadangan memperketatkan undang-undang memakai pakaian mirip anggota tentera untuk menjaga integriti pasukan keselamatan.

Katanya, ketika ini, orang awam dilihat bebas memakai pakaian milik pasukan keselamatan yang sepatutnya tidak berlaku, walaupun ia hanya berbentuk fesyen pakaian.

Beliau berkata, ini dibimbangi memudahkan penjenayah mengambil kesempatan melakukan penyamaran menggunakan pakaian berkenaan khususnya di sempadan negara.

Berita Harian X