Rabu, 30 Disember 2015 | 6:34pm

Bekalan air berjadual ditamatkan - SAJ

JOHOR BAHRU: SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) menamatkan Bekalan Air Berjadual (BAB) bagi kawasan Pasir Gudang, Masai dan sebahagian Johor Bahru di sini, berkuat kuasa hari ini. 

SAJ dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu dilakukan apabila paras Empangan Sungai Layang, dekat sini, menunjukkan trend kenaikan yang positif berikutan taburan hujan serta inisiatif lain yang dilakukan memperlihatkan keberkesanannya. 

"Keputusan mengakhiri operasi BAB itu dibuat selepas mengkaji secara terperinci pola taburan hujan, keberkesanan projek penyaluran air mentah Cabang Tiram - Empangan Layang, keberkesanan pemindahan air mentah Sungai Johor-Empangan Layang serta kemampuan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar merawat air mentah dan menyalurkannya pada kapasiti yang   diperlukan melalui rangkaian sistem paip yang efisien. 

"Ini tidak termasuk tindakan operasi melalui pengolahan sistem bekalan air yang banyak membantu dalam penjimatan penggunaan air dari Empangan Sungai Layang, seperti liputan tambahan dari sistem bekalan air yang berhampiran," katanya.

Berita Harian X