Khamis, 31 Disember 2015 | 12:03am
ANTARA hadirin majlis pelancaran buku 'On Justice And The Nature Of Man', karya Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail

On Justice and The Nature of Man, buku terbaik 2015


SULTAN Nazrin melancarkan buku 'On Justice And The Nature Of Man' yang ditulis oleh Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail

PADA awal Januari lalu, ketika membaca judul On Justice and The Nature of Man dalam senarai buku penerbitan baharu tahun ini, penulis sudah dapat mengagak ia karya mutakhir Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Meskipun senarai terbitan Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM) itu tidak menyertakan nama pengarangnya, persoalan besar yang disentuh itu memang sering ditekankan oleh Prof Syed Muhammad Naquib, termasuk dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin dan Islam and Secularism.

Dalam judul terbaharu itu, beliau menulis komentar terhadap ayat ke-58 Surah Al-Nisa' dan ayat ke-12 hingga ke-14 Surah Al-Mukminun.

Dua topik penting yang saling berkait itu ialah makna keadilan daripada pandangan alam Islam dan hakikat serta fitrah manusia yang juga sering ditegaskan dalam siri Syarahan Malam Sabtu, termasuk di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Apa yang mengagumkan penulis, sekali gus menggetarkan perasaan ketika membacanya adalah bagaimana Prof Syed Muhammad Naquib menjelaskan makna keadilan yang tidak terkepung dalam sangkaan awam seperti yang berlaku hari ini, iaitu sekitar politik dan sosial atau dalam lingkungan materialisme saja.

Berdasarkan ayat dalam Surah Al-Nisa' itu, beliau menerangkan lima kata kunci yang dapat membuka pandangan kita terhadap makna sebenar keadilan, iaitu amr, amanah, ahl, hakam dan 'adl.

Amr atau perintah suci yang dijelaskan bukan hanya dalam lingkungan moral dan undang-undang (fiqh), bahkan meliputi prinsip teologi, metafizik, falsafah dan etika seperti yang terpancar daripada pandangan alam Islam.


SAFIYA Alias, 25, menunjukkan buku 'On Justice And The Nature Of Man'. - Foto Rosela Ismail

Kefahaman terhadap hal itu mewujudkan golongan 'ulil amri' sebenar atau kemudiannya pemegang amanah dalam kalangan ulama terkemudian dan pemimpin yang pada masa sama perlu memahami makna amanah sebenar.

Memang menggetarkan perasaan apabila membaca huraian amanah yang dijelaskan oleh pengarang dari sudut etimologi dan hakikatnya, selain berkait dengan konsep aman dan iman sehingga terbayang makna sebenar seperti dikehendaki Allah pada penciptaan Nabi Adam sebagai khalifah.

Pelaksanaan tuntutan amanah tidak dapat lari daripada makna hakama, yang bermaksud pengetahuan terhadap fitrah sebenar dan tindakan bersesuaian dengannya yang kemudian dijelaskan pula dalam makna adil.

Kefahaman terhadap keadilan itu juga memerlukan pembaca untuk mengetahui hakikat dan fitrah manusia seperti yang diterangkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib dalam bahagian kedua buku berkenaan.

Bahagian itu turut menggetarkan hati penulis kerana pengarang bukan saja menjelaskan hakikat dan fitrah manusia dalam pandangan alam Islam, bahkan membuat penetapan terhadap anggaran usia hayat umat manusia keseluruhan secara ilmiah.

Masakan tidak usia hayat kemanusiaan berdasarkan pembuktian al-Quran dan hadis serta sejarah dan arkeologi antara 7,000 hingga 8,000 tahun itu sangat singkat secara relatifnya, sekali gus mengingatkan kita kepada peringatan Allah betapa kehidupan dunia ini hanya sebentar.

Keperluan untuk mengetahui tempoh itu dijelaskan oleh pengarang sebagai jawapan terhadap kekeliruan daripada teori dan konsep evolusi manusia yang menjadi aspek penting dalam sekularisasi Barat sekian lama.

Ia sudah tentu tidak menafikan penemuan arkeologi yang dianggarkan puluhan, ratusan ribu atau jutaan tahun itu kerana penetapan yang dibuat oleh Prof Syed Muhammad Naquib adalah manusia bani Adam dan bukannya seperti yang difahami dalam kerangka teori evolusi.

Barat meletakkan homo sapiens atau manusia moden dalam genus homo seperti Homo Neanderthalensis dan Homo Erectus, yang ditemui dalam kajian arkeologi.

Justeru, pembacaan buku terbaik 2015 ini bukan saja dapat menjelaskan makna keadilan daripada dikelirukan dengan idea sekular dan liberal Barat, bahkan mengembalikan kefahaman kita terhadap fitrah dan hakikat manusia seperti pandangan alam Islam.

INFO

On Justice and The Nature of Man

Penulis: Syed Muhammad Naquib al-Attas

Halaman: 57

Penerbit: Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM)

Harga: RM68

Bintang: ***** (5)

PROFIL

Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas

  • Memperoleh Sarjana Muda di Universiti Malaya (UM), Singapura; Sarjana dalam bidang Falsafah Islam di Universiti McGill, Montreal, Kanada dan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti London.
  • Berperanan dalam menubuhkan lnstitut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBBKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang kemudian menjadi Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).
  • Mengorak langkah penting dalam keintelektualan dan pemikiran di negara ini melalui penubuhan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) pada 1987.
  • Antara karya terpenting ialah Islam and Secularism, Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, Risalah untuk Kaum Muslimin dan Historical Fact and Fiction.
23 dibaca
Berita Harian X