Khamis, 31 Disember 2015 | 12:05am
HUKUM bersentuhan dengan bukan mahram.

Hukum bersentuhan dengan bukan mahram

MOHON jasa baik ustaz untuk memperjelaskan kepada saya berhubung sentuhan lelaki terhadap wanita (bukan mahram) yang boleh menyebabkan wuduk mereka terbatal. Saya dimaklumkan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan ulama empat mazhab. Harap dapat pencerahan yang sewajarnya daripada pihak ustaz.

Terima kasih kepada yang bertanya, sesungguhnya soalan ini sangat baik untuk kita kongsi bersama. Maklumat yang disampaikan itu adalah benar. Ulama yang mewakili empat mazhab saling berselisih pandangan dalam isu ini.

Cuma sebelum ustaz menjawab persoalan ini, ingin ustaz ingatkan bahawa pegangan kita di Malaysia adalah Mazhab Syafie.

Berpegang dengan Mazhab Syafie lebih diutamakan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam jika tidak kena dengan gayanya.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan yang akan menyebabkan saudara atau saudari berdosa apabila meninggalkan saranan ustaz ini.

Mazhab Hanafi berpendapat sentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wuduk selagi ia tidak menyebabkan nafsu seseorang itu terangsang sama ada dari pihak lelaki ataupun perempuan.

Jika nafsu syahwat telah terangsang akibat daripada sentuhan berkenaan, maka wuduk mereka akan terbatal.

Lain pula yang dilihat oleh Mazhab Maliki. Mereka berpendapat, wuduk hanya akan terbatal jika menepati syarat berikut:

* Lelaki atau perempuan yang telah bersentuhan atau tersentuh itu telah mencapai umur baligh. Ini bermaksud menyentuh anak kecil yang belum baligh tidak akan membatalkan wuduk.

* Sentuhan yang berlaku antara mereka sama ada secara sengaja atau sebaliknya menyebabkan nafsu terangsang. Oleh yang demikian, sentuhan yang tidak membangkitkan nafsu tidak akan membatalkan wuduk.

* Bersentuhan mestilah bertemu kulit dengan kulit tanpa sebarang kain atau lapik.

Pandangan Mazhab Syafie agak tegas berbanding mazhab lain. Mereka berpendapat sentuhan yang berlaku antara lelaki dan wanita (bukan mahram) akan menyebabkan wuduk terbatal. Hukum itu bersifat umum untuk semua keadaan dan lapisan masyarakat sama ada tua atau muda, hidup atau mati, sengaja atau kebetulan, bernafsu atau sebalik.

Mazhab Hambali hanya mengkhususkan hukum kepada sentuhan yang bersyahwat.

Jika sentuhan yang berlaku itu tidak menyebabkan nafsu terangsang, maka wuduk mereka tidak batal. Jika rangsangan syahwat berlaku akibat daripada sentuhan itu, maka wuduk mereka akan terbatal walaupun ia berlaku antara mahram.

Semua penjelasan di atas membuktikan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam isu ini.

Bagaimanapun, pendekatan yang dibuat oleh Mazhab Syafie adalah terpilih untuk diamalkan memandangkan ia adalah mazhab rasmi di Malaysia. Wallahua'lam.

Berita Harian X