Sabtu, 11 Oktober 2014 | 4:55pm
JENTERA dan nama Jules Bianchi terus dipaparkan di dalam garaj pasukan Marussia di GP Russia sebagai penghormatan kepadanya yang masih bertarung nyawa akibat kemalangan di GP Jepun. - Foto EPA
JENTERA dan nama Jules Bianchi terus dipaparkan di dalam garaj pasukan Marussia di GP Russia sebagai penghormatan kepadanya yang masih bertarung nyawa akibat kemalangan di GP Jepun. - Foto EPA

Tahap keselamatan F1 dipertingkat lepas insiden Bianchi

SOCHI: Perlumbaan Formula Satu (F1) sudah memperoleh pengajaran daripada kemalangan yang hampir meragut nyawa pelumba Perancis, Jules Bianchi di Grand Prix Jepun dan akan membuat perubahan penting dengan meningkatkan tahap keselamatan.

Perkara itu disahkan sendiri dua 'orang kuat' dalam perlumbaan elit itu iaitu Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt dan Pengarah Perlumbaan badan induk itu, Charlie Whiting.

Kedua-duanya memberi penerangan dengan jelas kepada semua yang terbabit di paddock perlumbaan di GP Russia, lewat malam semalam dan memberikan penjelasan lebih mendalam bagaimana insiden ngeri itu boleh berlaku di Litar Suzuka, Ahad lalu.

PENGARAH perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Charlie Whiting (kiri) dan Presiden FIA, Jean Todt ketika mengadakan sidang media di GP Russia di Sochi. - Foto EPA
PENGARAH perlumbaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Charlie Whiting (kiri) dan Presiden FIA, Jean Todt ketika mengadakan sidang media di GP Russia di Sochi. - Foto EPA

"Kita perlu belajar daripada apa yang sudah berlaku," kata Todt. "Dan kita akan, kerana kita tidak boleh berdepan lagi dengan situasi seperti ini. Setiap nyawa adalah penting."

Rakaman daripada dua insiden yang membabitkan Bianchi dan Adrian Sutil yang terperangkap di selekoh sama turut dimainkan.

Rakaman itu menunjukkan Sutil masih menggunakan laluan yang kering ketika hujan lebat hingga menyebabkan jentera Saubernya berpusing di atas litar.

Bianchi juga melakukan perkara yang sama namun cubaannya untuk menyelamatkan jenteranya menyaksikan muncung jenteranya berada di depan sebelum melanggar traktor yang mengangkat jentera Sutil.

MARSHAL dan doktor perlumbaan berusaha untuk menyelamatkan pelumba Marussia, Jules Bianchi sejurus berdepan kemalangan ngeri di GP Jepun, minggu lalu. - Foto EPA
MARSHAL dan doktor perlumbaan berusaha untuk menyelamatkan pelumba Marussia, Jules Bianchi sejurus berdepan kemalangan ngeri di GP Jepun, minggu lalu. - Foto EPA

Akibat pelanggaran itu, Bianchi mengalami kecederaan kepala termasuk membabitkan otaknya.

Dan Whiting yang ketika masih menunggu laporan penuh daripada insiden itu menjelaskan FIA mahu semua pelumba untuk memperlahankan jentera mereka seandainya berlaku kemalangan.

"Kami menggunakan dua bendera kuning kerana merasakan insiden itu boleh diselesaikan tanpa menggunakan kereta keselamatan," kata Whiting.

"Tahap seterusnya adalah kereta keselamatan, sudah tentu namun kerana jentera itu amat jauh daripada litar perlumbaan, berada di penghadang litar, ia adalah prosedur yang biasa kita ikuti."

Begitupun, Whiting menambah 'tidak semua orang memperlahankan jentera mereka' sebagai tindak balas kibaran dua bendera kuning itu dan enggan mengulas pemanduan Bianchi ketika itu. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X