Jumaat, 1 Januari 2016 | 12:33am

Malaysia sambut 2016 dengan keunikan tersendiri

AHMAD Zahid (lima dari kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (empat dari kiri) bersama jemaah lain memulakan solat Isyak sempena program keagamaan 'Kuala Lumpur Berselawat WilayahKu Ceria' di Dataran Merdeka. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyambut 2016 dengan pelbagai acara termasuk menyaksikan persembahan bunga api mempesonakan, selain menghadiri majlis keagamaan bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara dalam menghadapi tahun baru yang dijangka penuh cabaran.

Beribu-ribu rakyat negara ini dan warga asing membanjiri lokasi tertentu di seluruh negara untuk menyertai acara-acara yang diadakan termasuk konsert sebelum sama-sama menghitung detik 12 tengah malam.

Beberapa kawasan tertentu di ibu negara menjadi tumpuan warga kota yang tidak mahu ketinggalan memeriahkan sambutan Tahun Baru 2016.

Hujan renyai di beberapa kawasan di ibu kota juga tidak menghalang mereka untuk membanjiri kawasan seperti Menara Berkembar Petronas, Pavilion di Bukit Bintang dan The Curve di Damansara bagi menyaksikan acara yang diadakan termasuk konsert sementara menanti detik 12 tengah malam.

Program keagamaan 'Kuala Lumpur Berselawat WilayahKu Ceria' yang berlangsung di Dataran Merdeka pula menarik ribuan umat Islam termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, upacara sembahyang untuk mendoakan kesejahteraan negara dan rakyat juga diadakan di beberapa tempat ibadat.

Trafik di ibu negara juga terkawal, kata polis.

PERCIKAN bunga api sempena malam Tahun Baharu 2016 di i-City Shah Alam. - Foto Nazran Jamel

Di PUTRAJAYA, program Kesenian Islam Ambang Tahun Baharu 2016 diisi dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, forum Bicara Santai serta persembahan nasyid berlangsung di Masjid Putra.

Di SELANGOR, penduduk Shah Alam membanjiri i-City untuk menyambut kedatangan 2016 sambil disajikan dengan persembahan bunga api tepat detik 12 tengah malam.

Di PAHANG, hampir 1,000 peserta mengambil bahagian dalam acara '2016 New Year Nite Ride' anjuran Majlis Perbandaran Kuantan melibatkan kayuhan berbasikal sejauh 35 kilometer mengelilingi bandar Kuantan hingga ke Pantai Teluk Cempedak.

Sementara itu, kira-kira 700 penganut Kristian menghadiri upacara keagamaan sempena tahun baharu di Gereja St Thomas, di bawah pimpinan Paderi Patrick Boudville.

Program Kuantan Berselawat yang berlangsung serentak dengan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 pula menarik perhatian masyarakat Islam setempat.

PERTUNJUKAN bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2016 di Dataran Bandaraya Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Di PERAK, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh menjadi tumpuan kira-kira 20,000 rakyat yang menyambut ketibaan 2016 dengan pertunjukan bunga api, persembahan juara Gegar Vaganza musim kedua Siti Nordiana dan pelancaran logo Tahun Melawat Perak 2017 dan tarian 'flashmob' oleh anggota Budaya Kreatif negeri.

Acara keagamaan turut menjadi pengisian program ambang tahun baharu anjuran Jabatan Agama Islam negeri di Masjid Sultan Idris Shah II.

Di PULAU PINANG, pengunjung memenuhi Persiaran Karpal Singh, Jelutong untuk meraikan kedatangan 2016 dengan konsert artis tempatan, persembahan tarian dan juga pertunjukan bunga api.

Di KELANTAN, sambutan Ambang 2016 disambut secara sederhana di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menggunakan kesempatan itu untuk menggesa penjawat awam di Kelantan supaya memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Di MELAKA, sambutan diisi dengan persembahan kebudayaan Briged Seni Melaka dan acara Miss Tourism World 2015 disertai peserta dari 50 negara di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.

Selain itu, majlis kesyukuran dan doa selamat turut diadakan di beberapa masjid utama seperti Masjid Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Masjid Sayyidina Ali di Bukit Katil dan Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Di SABAH, walaupun tiada acara sambutan khusus, penduduk setempat memilih untuk meraikan tahun baharu bersama keluarga dan rakan di lokasi seperti Teluk Likas. - BERNAMA

ORANG ramai menyambut Tahun Baharu 2016 di Strait Quay, Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Berita Harian X