Sabtu, 11 Oktober 2014 | 5:54pm

Jerebu rentas sempadan dijangka berkurangan pertengahan Oktober

PEMANDANGAN pagi di sekitar bandar Georgetown kelihatan kabur disebabkan jerebu pada tahap tidak sihat di Pulau Pinang. Indeks Pencemaran udara (IPU) pada jam 8 pagi mencatatkan kawasan Seberang Jaya (106), Universiti Sains Malaysia (105) dan Perai (93). - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Kemungkinan berlaku jerebu merentas sempadan di negara ini dijangka berkurangan dengan bermulanya musim peralihan monsun pertengahan bulan ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, berkata ia seterusnya menjurus kepada Monsun Timur Laut yang membawa cuaca lebih lembap dan perubahan arah angin.

Beliau berkata, kemerosotan status kualiti udara di beberapa kawasan di utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia sejak semalam berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

"Ini berikutan angin Monsun Barat Daya yang bertiup ke Pantai Barat Semenanjung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Palanivel berkata, susulan itu, ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar sudah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Kementerian Alam Sekitar Indonesia semalam bagi mengulangi kebimbangan dan rasa tidak puas hati Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

PEMANDANGAN bangunan Menara Berkembar Petronas (tengah) dan Menara Kuala Lumpur (belakang kanan) kelihatan kabur apabila Kuala Lumpur turut dilanda jerebu sejak beberapa hari lalu. - Foto BERNAMA
PEMANDANGAN bangunan Menara Berkembar Petronas (tengah) dan Menara Kuala Lumpur (belakang kanan) kelihatan kabur apabila Kuala Lumpur turut dilanda jerebu sejak beberapa hari lalu. - Foto BERNAMA

"Dalam hal ini, Malaysia turut menggesa pihak Indonesia segera melaksanakan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan secara meluas dan efektif," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dengan sengaja atau untuk tujuan tertentu.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X