Jumaat, 1 Januari 2016 | 5:00pm

UiTM mara suku akhir Debat Universiti Dunia

SHAH ALAM: Pasukan debat Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menduduki tempat kedua pusingan saringan pada Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) yang sedang berlangsung di Thessaloniki, Greece. 

UiTM yang diwakili Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho Abdullah memperoleh 23 mata, sekali gus melayakkan mereka meneruskan saingan di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Pemangku Naib Canselornya, Prof Dr Abdul Rahman Omar, berkata UiTM juga berjaya mengatasi lebih 400 pasukan debat universiti terkemuka lain seperti Cambridge, Oxford dan Yale.

"Pencapaian ini sangat bersejarah kerana ini kali pertama pasukan dari rantau Asia berjaya mendapat pungutan mata dan kedudukan setinggi ini.

"Tahun lalu, pasukan debat UiTM juga berjaya mengharumkan nama negara dengan memenangi Kategori Terbuka Pertandingan Debat Antara Universiti Cambrigde (Cambridge IV) di United Kingdom pada November tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, seluruh warga UiTM mengucapkan tahniah atas kejayaan itu dan berdoa semoga kedua-dua pendebat universiti itu akan memperoleh kejayaan yang lebih tinggi dalam kejohanan berkenaan.

Berita Harian X